KEJOHANAN Piala Sultan Azlan Shah sebelum ini menggunakan teknologi rujukan video.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KEPUTUSAN Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) tidak menggunakan teknologi rujukan video (video referral) pada Pusingan Akhir Siri FIH di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil bermula 26 April ini jelas dilihat agak pelik.

Apatah lagi, status kejohanan berkenaan tinggi dan menjadi sebahagian daripada kempen kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sedangkan kejohanan seperti Piala Sultan Azlan Shah yang berlangsung bulan lalu di Ipoh juga menggunakan teknologi rujukan video.

Rujukan video adalah teknologi untuk melihat ulang tayang semula insiden yang boleh dipohon pemain kepada pengadil dalam kawasan 23 meter dalam usaha untuk mendapatkan pukulan sudut penalti, penalti stroke dan mengesahkan atau membatalkan jaringan.

Bagi pemain senior negara, Faiz Helmi Jali, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya dengan keputusan FIH itu.

“Memang saya agak terkilan sebab kegunaan rujukan video ini banyak memberi kelebihan kepada setiap pasukan termasuklah pasukan negara.

“Kalau kita ingat, semasa Piala Sultan Azlan Shah pun kita banyak gunakan rujukan video untuk mendapatkan kelebihan.

“Jadi, bila ia tak digunakan di Pusingan Akhir Siri FIH nanti, ia agak menyukarkan kami untuk ambil kelebihan,” katanya.

Bagaimanapun, jelas Faiz, sebagai pemain, dia serta rakan sepasukan lain perlu juga meneruskan aksi di atas padang tidak kira sama ada rujukan video itu akan digunakan atau sebaliknya.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menerusi laporan Arena Metro semalam berharap FIH dapat mengkaji semula keputusan tidak membenarkan penggunaan teknologi itu.

Katanya, alasan yang diberikan oleh FIH ialah tidak semua penganjur mempunyai kemudahan untuk teknologi rujukan video, namun Malaysia berupaya melakukannya.

Justeru itu, MHC mengemukakan surat bantahan kepada FIH semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 6:01 AM