YAHYA
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


SEREMBAN: “Saya mengaku saya bersalah dan memohon maaf dengan apa yang berlaku,” kata pelawak Mazlan Ahmad, 50, atau Lan Pet Pet sebaik didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret, semalam, selepas didapati bersalah memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai pada 6 April lalu.

Mazlan berkata, dia menerima hukuman itu dengan hati terbuka dan akan membayar denda seperti diarahkan.

“Saya merancang untuk bertemu pak cik itu (pengawal keselamatan) untuk menziarahinya. Pada pertemuan secara tertutup, saya akan mengakui kesilapan diri dan meminta maaf di hadapannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia berharap pengawal terbabit, Yahya Manap, 70, akan memaafkannya, tambahan pula dia sudah dihukum oleh mahkamah.

“Saya tak tahu kenapa saya perlu bersikap sedemikian pada malam kejadian (6 April lalu). Selama ini saya sangat menghormati orang tua,” katanya.

Mazlan berkata, kejadian itu menginsafkannya, tambahan pula pertama kali didakwa di mahkamah dan dia tidak membuat rayuan ketika dikenakan denda.

“Saya mungkin hilang pertimbangan pada malam itu kerana ditekan dan provokasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pelawak berasal dari Kedah terbabit mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mayon Yusof.


LAN Pet Pet

Katanya, pada prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqh Mahroob, mahkamah menjatuhi denda RM2,000 dan jika gagal bayar, Mazlan boleh dipenjara lapan bulan.

Menurutnya, pelawak itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Portal berita Harian Metro pada 7 April lalu melaporkan pengawal keselamatan terbabit cedera akibat ditumbuk dan ditendang oleh seorang pelawak di perkarangan pondok pengawal penempatan itu.

Maaf tapi tetap saman

Pengawal keselamatan Yahya Manap, 70, yang dibelasah Mazlan Ahmad, 50, atau Lan Pet Pet pada 6 April lalu sedia memaafkan selebriti itu jika benar pelawak terbabit ikhlas.

Biarpun begitu, katanya, rancangannya menyaman Mazlan akan diteruskan dan ia dalam tindakan peguam.

“Secara hukum, saya sedia memaafkan Mazlan, tetapi hal membabitkan saman tetap diteruskan.

“Maruah saya sudah tercemar, rasa terhina, trauma dan malu kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.


LAPORAN Harian Metro, 8 April lalu.

Menurutnya, saman itu akan dikemukakan peguamnya dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Mazlan, semalam, Yahya menyifatkan ia terlalu rendah.

“Memang rendah, tetapi itu keputusan mahkamah. Kalau ikutkan hati memang tidak puas hati, tetapi tidak mengapa, mahkamah yang memutuskan,” katanya .

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:00 AM