REAKSI Cheng Hoe selepas Malaysia tewas 0-1 kepada Singapura dalam perlawanan Piala Airmarine 2019, baru-baru ini.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


KUALA LUMPUR: Status selaku naib juara Piala AFF 2018 bukan jaminan mudah buat skuad Harimau Malaya untuk melepasi pusingan pertama playoff Kelayakan Piala Dunia 2022 apabila dijangka diundi berdepan antara salah satu daripada enam pasukan tercorot Asia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Undian untuk aksi playoff itu akan dilangsungkan di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, esok.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang sekadar menghuni kedudukan ke-168 dunia dan ranking ke-35 dalam zon Asia perlu menempuh aksi playoff sebelum memasuki peringkat kumpulan kelayakan Piala Dunia.

Pasukan yang dijangka menjadi lawan skuad negara ialah Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, skuad negara wajib mencatat kemenangan dalam aksi playoff itu bagi menjamin tempat ke pusingan kedua sekali gus mengelak daripada menanggung aib sekiranya gagal melepasi peringkat awal itu.

Katanya, walau siapa pun lawan yang akan ditemui, beliau mahu pemain menunjukkan komitmen dan disiplin dalam perlawanan itu yang akan dijalankan secara timbal balik.

“Ini peluang kita untuk menebus kehampaan selepas pasukan bawah 23 tak berjaya ke pusingan akhir kejuaraan AFC tahun depan selain pasukan senior yang menamatkan saingan Piala Airmarine di tempat ketiga.

“Saya kira pemain dan jurulatih turut sedar akan tanggungjawab besar apabila bermain di playoff nanti kerana kalau kita tewas sudah tentu penyokong akan terus mempersoalkan pasukan serta kredibiliti FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) selaku badan induk.

“Malah, pelan F:30 juga akan dipersoalkan oleh semua pihak. Jadi mahu tidak mahu pasukan tiada pilihan selain wajib mencatatkan kemenangan untuk menjamin tiket kita di peringkat seterusnya,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dalam undian itu nanti, balang satu akan diisi oleh pasukan yang berada di kedudukan 35-40 terbaik zon Asia yang terdiri daripada Malaysia, Kemboja, Macau, Laos, Bhutan dan Mongolia.

Manakala, balang dua pula (ranking 41-46 zon Asia) menyaksikan pasukan Bangladesh, Guam, Brunei, Timor Leste, Pakistan dan Sri Lanka.

Ini bermakna skuad negara akan menentang pasukan di balang kedua sekali gus memiliki peluang cerah untuk meraih kemenangan.

“Saya rasa kita tiada masalah untuk mendapatkan kemenangan, cuma ia terserah kepada pemain untuk membuktikan segala-galanya di atas padang nanti.

“Saya berkata begini kerana aksi playoff akan diadakan pada musim Hari Raya dan itu mungkin cabaran yang terpaksa ditempuh oleh semua pemain nanti. Jadi saya harap pemain sedia untuk berkorban cuti raya ini demi memastikan pasukan dapat mencapai misi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 6:31 AM