LIZETH GUADALUPE RAMIREZ
Agensi

GARA-GARA kekasih tidak memuji dia cantik, seorang wanita memukul teman lelakinya berkali-kali malah turut mencekiknya, baru-baru ini.

Lizeth Guadalupe Ramirez, 20, ditahan polis, malam Selasa lalu selepas menerima laporan mengenai kejadian itu.

Pada mulanya, wanita berasal dari Laredo, Texas itu memberitahu polis mangsa menyerang dan cuba mencekik dia, lapor akhbar Laredo Morning Times.

Bagaimanapun, mangsa memberi keterangan berbeza kepada polis.

Menurut mangsa, Lizeth naik darah apabila dia mendiamkan diri ketika wanita itu bertanyakan sama ada dia cantik ketika mereka menonton wayang.

Mangsa mendakwa dia tidak mendengar pertanyaan itu menyebabkan mangsa dipukul beberapa kali ketika berada dalam kereta sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah.

Malah sebaik tiba di rumah, mangsa mendakwa Lizeth menolak dan memukul dia lagi apabila seorang saudara cuba menghalangnya.

Menurut Daily Mail, saudara terbabit turut dipukul Lizeth yang didakwa dengan dua tuduhan serangan dan keganasan keluarga.

Wanita terbabit kemudian dibebaskan dari penjara pada khamis lalu selepas membayar ikat jamin AS$16,000 (RM65,830).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:58 AM