GOBIND, Fauzi.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menentukan status jawatan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Fauzi Ayob.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, pihaknya sudah melantik pasukan baharu bagi memastikan peningkatan prestasi Finas.

“Barisan baharu Lembaga Finas sudah dilantik dan Datuk Hans Isaac sebagai pengerusi manakala ketua pengarah adalah Ahmad Idham.

“Itu adalah keputusan yang sudah dilakukan dan kita sudah mulakan kerja,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Gobind juga menyampaikan penghargaan kepada Fauzi kerana sudah melaksanakan tugas dengan baik tetapi status lantikan akan diuruskan JPA.

Pada 11 Mac lalu, kementerian mengumumkan pelantikan pengarah filem, Ahmad Idham Ahmad Nadzri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas.

Bagaimanapun, ketika ditemui semalam Fauzi berkata, beliau masih memegang jawatan Ketua Pengarah Finas berdasarkan lantikan JPA sehingga 2021.

“Saya tiada halangan untuk mengosongkan jawatan tetapi biarlah menggunakan prosedur yang betul.

“Cara saya ditukarkan sementara ke Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tidak mematuhi prosedur pegawai tinggi kerajaan dengan Gred Jusa B yang sepatutnya melalui Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya.

Fauzi berkata, jawatannya masih diwartakan sebagai Ketua Pengarah Finas oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga tarikh akhir perkhidmatannya pada 2 Januari 2021.

Sementara itu, Ahmad Idham berkata, pelantikannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Finas sah berdasarkan Akta 244.

“Lantikan saya dibuat oleh Menteri dengan sokongan ahli perbadanan Finas. Soal Datuk Fauzi, di luar bidang kuasa saya untuk komen dan biarlah JPA yang mengesahkannya.

“Apa yang saya tahu, saya diarahkan untuk menjawat tugas ini, lakukan tugas saya, dan ikut apa yang dirujuk kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 6:10 AM