NAJIB di hari ketiga perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa terdapat kemungkinan berlaku transaksi perbankan membabitkan SRC International Sdn Bhd (SRC International) kepada syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd membabitkan wang berjumlah RM94.7 juta

Perkara itu dibangkitkan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyoal balas saksi kedua iaitu Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41.

Transaksi itu adalah dokumen tambahan yang dikemukakan Pengurus Ambank Cawangan Raja Chulan, R Uma Devi kepada Azizul (ketika itu Pegawai Penggeledah) ketika rampasan dibuat pada 6 Julai 2015.

Harvinderjit merujuk kepada empat transaksi yang berlaku antara Disember 2014 hingga 13 Februari 2015, masing-masing berjumlah RM40 juta, RM5 juta, RM39.7 juta dan RM10 juta.

Bagaimanapun, Azizul Adzani ketika ditanya mengatakan bahawa beliau tidak ingat sama ada ia adalah dokumen yang sama direkodkan ketika membuat rampasan.

Terdahulu, Azizul Adzani memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menerima sebarang arahan khusus bagi mendapatkan dokumen membabitkan enam akaun milik Najib dan SRC International.

“Saya diarahkan untuk mendapatkan dokumen berkaitan bagi setiap akaun yang diberikan pegawai penyiasat, Ahmad Farhan Shahrudin. Uma memberi dokumen yang diminta pada jam 11 pagi dan beliau turut memaklumkan ada beberapa dokumen tidak dapat diserahkan ketika itu.

“Saya menunggu di lobi selepas membuat rampasan pada sebelah pagi. Dokumen yang lain diperoleh pada jam 9.15 malam dan 9.30 malam selepas Uma melihat pasukan saya masih berada di lobi bank,” katanya.

Menjawab soalan Harvinderjit, Azizul Adzani berkata, pasukannya berada di lobi sehingga malam menunggu pasukan kedua selesai membuat siasatan di lokasi yang sama untuk pulang bersama.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau tahu berhubung siasatan yang dilakukan pasukan kedua, Azizul Adzani mengatakan tidak tahu.

Sementara itu, merujuk kepada akaun bank Najib, saksi kedua itu mengesahkan bahawa dua daripada empat akaun di Ambank itu sudah ditutup.

Menurutnya, selepas meneliti dokumen, beliau menyedari bahawa dua akaun itu masing-masing ditutup pada 30 Ogos 2013 dan 26 Ogos 2013.

Pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tommy Thomas dan dibantu Datuk V Sithambaram.

Pasukan pendakwaan lain termasuk Ishak Mohd Yusoff, Donald Joseph Franklin, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Budiman Lutfi Mohamed, Sulaiman Kho Kheng Fuei, Mohd Ashrof Adrin Kamarul dan Muhammad Izzat Fauzan.

Najib turut diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta dibantu Farhan Read, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Tiara Katrina Fuad, Nur Syahirah Hanapiah dan Zahria Eleena Redza.

Najib yang mengaku tidak bersalah berdepan tujuh tuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram.

Ia sebahagian daripada 42 tuduhan dihadapi Najib yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sama, tetapi membabitkan dana berbeza.

Najib didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah serta satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 7:47 AM