Sarah Zulkifli


BEKAS pakar forensik memberitahu Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, bahawa kesan kecederaan pada dada kanan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim lebih mirip dengan patung model getah (dummy) yang digunakannya ketika lakonan semula.

Bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (dahulu dikenali sebagai Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata, lakonan semula untuk mengetahui bagaimana berkemungkinan kecederaan berlaku ke atas Muhammad Adib yang dibuat berdasarkan rekonstruksi dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dr Shahrom berkata, beliau menggunakan dummy yang dipegang seorang anggota bomba pada jenang pintu van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum pintu itu ditolak dengan sekuat hati.

“Dummy itu yang berwarna jingga, kami catkan dengan cat fabrik hitam pada bahagian pintu EMRS sebelum kami hayun pintu dengan cepat kepada dummy dan dummy itu ditarik keluar.

“Kemudian, kami padankan dengan corak pada dada kanan mangsa dan pada pendapat saya cedera sedemikian lebih boleh dihasilkan semula.

“Ia lebih mirip, tetapi tidak sempurna, seolah-olah hentaman daripada pintu EMRS boleh menyebabkan kecederaan sebagaimana pada dummy,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah dalam inkues kematian Muhammad Adib di hadapan Koroner Rofiah Mohamad pada pendengaran yang masuk hari ke-28, hari ini.

Saksi sama turut berpendapat kesan kecederaan pada Muhammad Adib itu tidak sepadan langsung dengan struktur bahu jalan berdasarkan kepada rekonstruksi PDRM.

“Saya melawat tempat kejadian dan tiada benda menonjol seperti kesan luka pada dada kanan mangsa di sepanjang jalan berkenaan.

“Saya cari di sepanjang bahu jalan di tempat kejadian dan kalau ada tombol di bahu jalan, namun, tidak ada yang menonjol untuk menyebabkan luka sagat di tengah dada yang bersesuaian dengan tombol getah,” katanya.

Terdahulu, saksi sama menegur Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung cara merakamkan gambar kecederaan dialami mangsa.

“Sepatutnya ahli patologi HKL melampirkan skala warna ketika merakam gambar menunjukkan lebam Adib semasa bedah siasat,” katanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantun Negara (IJN).

Prosiding inkues bersambung Jumaat ini.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 7:09 PM
    DR Shahrom (kiri) hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Tahir.