JOKOWI memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia. Foto Reuters
Agensi

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, kiraan pantas menunjukkan dia memenangi Pilihan Raya Presiden tetapi meminta penyokongnya bersabar dan menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan keputusan rasmi.

Bagaimanapun, pencabarnya, Prabowo Subianto enggan mengalah dengan mendakwa dia memperoleh 52 peratus hingga 54 peratus undi.

Prabowo juga menyeru penyokongnya supaya tidak membiarkan kemenangannya dirampas.

Menurut kiraan pantas agensi kaji selidik yang disiarkan Kompas.com menunjukkan Jokowi memperoleh 54.58 peratus, Probowo 48.42 peratus daripada jumlah keseluruhan undi 88.55 peratus.

Kiraan pantas keputusan diambil daripada jumlah undi yang dikira di semua pusat pengundian tetapi pengumuman rasmi biasanya mengambil masa selama beberapa minggu.

“Petunjuk daripada kiraan pantas, kita semua sudah lihat tetapi kita mesti sabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:35 PM