NAJIB mengaminkan doa yang dibacakan penyokong semasa hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan, Bank Negara Malaysia (BNM), Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, berkali-kali menafikan bahawa beliau menipu ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini.

Malah, beliau juga menafikan ada ‘dilatih’ untuk tidak bercakap benar dan ada menyembunyikan sebarang maklumat berhubung kes itu.

Azizul Adzani berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi tujuh tuduhan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International).

Dalam prosiding semalam, Azizul Adzani berkata, selepas serbuan di Ambank Cawangan Jalan Raja Chulan di sini, pada 6 Julai 2015, pihaknya membuat laporan polis dengan menyatakan kes disiasat mengikut kesalahan di bawah Seksyen 4(1), Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001.

Menjawab soalan Harvinderjit, saksi itu mengesahkan bahawa laporan polis berkenaan dibuat pada jam 10.04 malam pada hari sama di Balai Polis Tun H S Lee iaitu selepas memperoleh dokumen yang diperlukan.


PEGUAM Negara, Tommy Thomas hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

HARVINDERJIT: Kamu membuat serbuan itu dan merampas dokumen yang diperlukan mengikut arahan Pegawai Penyiasat, Ahmad Farhan Shahruddin dan sebaik sahaja selesai dokumen diambil, kamu sudah tahu siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA. Bagaimana kamu tahu ia disiasat mengikut akta itu?

AZIZUL: Berdasarkan dokumen yang dirampas.

HARVINDERJIT: Adakah kamu tahu bahawa membuat laporan polis dengan memberi maklumat tidak benar adalah kesalahan mengikut akta Kanun Keseksaan?

AZIZUL: Ya, saya tahu.

HARVINDERJIT: Pada 6 Julai 2015 iaitu pada jam 10.04 malam, kamu pergi membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan ia adalah 34 minit selepas dokumen serbuan diterima daripada Pengurus Ambank Cawangan Raja Chulan, R Uma Dewi.

AZIZUL: Ya betul.

HARVINDERJIT: Tetapi ketika itu, kamu bukan pegawai penyiasat? (Azizul Adzani adalah pegawai pengeledahan ketika itu)

AZIZUL: Ya betul.

HARVINDERJIT: Kamu tidak menghubungi pegawai penyiasat untuk membuat pengesahan?

AZIZUL: Tidak.

Sementara itu, menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa ada beberapa dokumen tidak berada dalam senarai penggeledahan yang dibuat.

SUHAIMI: Jika tengok senarai rampasan, kamu ada buat catatan dokumen yang dirampas, bagaimana kamu boleh buat semua catatan itu?

AZIZUL: Saya ada buat semakan terhadap kandungan setiap fail dan sampul surat yang diperoleh daripada Uma, secara kasar. Ada juga dokumen yang tidak dinyatakan dalam senarai geledah.

SUHAIMI: Kenapa tidak membuat catatan?

AZIZUL: Ia adalah kerana terdapat banyak dokumen ketika itu dan saya hanya ada masa satu jam. Oleh itu, saya hanya catatkan nama dokumen yang paling atas.


PASUKAN peguam bela Najib membawa kotak dokumen di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Prosiding dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung hari ini.

Najib, 65, yang mengaku tidak bersalah menghadapi tujuh tuduhan merangkumi kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram.

Ia sebahagian daripada 42 tuduhan dihadapi beliau yang sudah enam kali dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sama tetapi dana berbeza.

Najib kali pertama didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 6:20 AM