KAPAL Al- Nilam Jabatan Laut menjalankan operasi memantau dan membersihkan kesan tumpahan minyak di tengah laut dan kini sudah merebak ke pesisir Pantai Tanjung Balau, Desaru di Kota Tinggi. FOTO Ihsan Jabatan Laut Malaysia
Mohd Sabran Md Sani


“INI sejarah pencemaran terburuk pernah kami alami,” kata Pengerusi Koperasi Sinar Tanjung Balau, Salahuden Abu Bakar, mengulas insiden pembuangan sisa minyak hitam jenis ‘Marine Fuel Oil’ di kawasan itu sejak pagi kelmarin.

Ini terbukti apabila minyak berwarna hitam dan likat itu dilihat dengan jelas mengotori pesisir pantai Tanjung Balau hingga memberi kesan kepada sektor pelancongan ikonik Kota Tinggi.

Paling merisaukan tempoh baik pulih kesan pencemaran itu mengambil masa berbulan-bulan, malah kesan tumpahan minyak sebelum ini hanya dapat diselesaikan sepenuhnya dalam masa enam bulan.

Menurutnya, lebih terkesan apabila nelayan pesisir pantai mengalami kerugian besar apabila bubu dan peralatan lain rosak.

“Kebetulan, banyak bubu baru yang dibuat menggunakan rotan, kayu dan dawai direndam di pesisir pantai bagi melembutkan strukturnya serta mengubah warnanya supaya kelihatan asli berbanding keadaannya berkilat sebelum itu.

“Bagaimanapun bubu yang dibeli pada harga RM200 setiap satu disaluti minyak hitam hingga menjejaskan mata pencarian nelayan di kawasan ini.

“Bau minyak yang kuat akan menyebabkan ikan lari dan tidak mahu masuk ke dalam bubu yang diletak di dasar laut.

“Kalau dibersihkan bubu itu belum tentu dapat menjerat ikan mahupun hasil laut lain kerana bau minyak yang melekat dan sukar dibersihkan,” katanya ketika ditemui di jeti Tanjung Balau di Kota Tinggi, semalam.

Menurutnya, insiden itu mengakibatkan nelayan kerugian kira-kira RM8,000, selepas hampir 40 bubu di rendam di pesisir pantai diselaputi minyak hitam.

“Itu baru saja mengambil kira kos bubu, tidak termasuk kerugian daripada 20 bubu lain yang dipasang dan mampu menjana pendapatan antara RM400 hingga RM500 seminggu.

“Jarak bubu ditempatkan antara 500 meter hingga satu kilometer dan kedalaman 15 meter untuk membolehkan hasil tangkapan yang banyak,” katanya.

Katanya, nelayan Tanjung Balau dan Tanjung Lompat berharap dibayar pampasan akibat kerugian tumpahan minyak itu.

Katanya, sebelum ini pencemaran yang berlaku di kawasan itu hanya membabitkan tompokan minyak.

“Tetapi kehadiran minyak kali ini dalam bentuk cecair mengakibatkan pesisir pantai sejauh dua kilometer dicemari sisa minyak.

“Ia juga melekat pada batu yang kerap dijadikan rujukan pelajar arkeologi Universiti Malaya (UM) bagi tujuan penyelidikan,” katanya.

Berita berkaitan

Angkara siapa?

Sengaja buang minyak [METROTV]

Onar kapal asing

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:45 AM