Sudirman Mohd Tahir

Pengalaman ditipu sebuah syarikat menerusi pengedaran dua jenama minyak wangi sebelum ini membuatkan pelakon dan pengacara popular, Scha Alyahya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan syarikat dan jenama tempatan lain.

Scha, 36, atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkata, apa yang dititikberatkan selepas kejadian itu, dia dan suami Awal Ashari akan lebih meneliti dan memahami kontrak.

Terbaru, Scha yang bekerjasama dengan jenama Christy Ng menerusi produk beg tangan dan kasut berkata, hampir setiap hari dia membaca kontrak.

“Saya banyak belajar daripada apa yang berlaku. Disebabkan itu, untuk kerjasama kali ini saya pentingkan soal kontrak. Dari semasa ke semasa saya baca kontrak hingga berlangsungnya sidang media kerjasama itu. Pendek kata, saya sangat ambil berat dan semua perkara kena teliti.

“Christy juga mengambil pendekatan sama. Jadi, saya berasakan selamat untuk bekerjasama dengan dia. Menguatkan lagi keyakinannya apabila saya menang kes saman tempoh hari,” katanya.

Menurut Scha, apa yang terjadi tidak membuatkan dia serik untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

“Selepas ini, saya tak kisah nak bekerjasama dengan sesiapa pun asalkan ikut sistem betul. Kontrak kena jujur dan telus. Sebelum ini tidak ada langsung. Apabila bekerjasama dengan saya dan Awal, kami melabur. Jadi, ia berbeza dengan melantik artis menjadi duta.

“Apabila sebagai pelabur, kami terbabit untuk semua. Jadi, mereka berasakan apa yang kami minta berbeza daripada artis lain yang tak pernah minta. Kalau mereka bagi pun, sangat was-was. Dari situ timbul syak wasangka hingga kami terpaksa ambil tindakan,” katanya.


Tidak merendahkan diri

Menurut Scha, kerjasama dengan jenama itu sama sekali tidak menjatuhkan nilai pasaran dirinya apatah lagi sering muncul dan dipilih mewakili Malaysia pada acara membabitkan jenama terkenal luar negara.

Malah, Scha bangga apabila dipilih bekerjasama sekali gus memberikan idea secara keseluruhan bagi kedua-dua produk.

“Ramai bertanya perkara ini. Bagi saya, kalau buat dengan jenama antarabangsa hanya kempen sekali atau dua kali dan mereka terbangkan kita ke lokasi tertentu tempat di mana jenama itu menganjurkan acara.

“Apabila bekerjasama dengan jenama tempatan, ia lebih panjang. Dalam masa sama, kita lebih banyak terbabit dari segi proses, pembikinan, harga dan material. Pendek kata, ia lebih dekat dengan kita. Berbanding kalau sekadar letak muka kita sebagai duta.

“Saya melihat kebanyakan selebriti antarabangsa bekerjasama dengan jenama tempatan mereka. Kalau Hollywood, jenama mereka tidak berapa kuat jika nak dibandingkan dengan jenama dari Eropah tapi mereka tetap bangga. Begitu juga dengan Korea Selatan, Thailand dan Jepun. Jadi, saya pun bangga bekerjasama dengan jenama tempatan. Tidak ada istilah malu atau meletakkan diri di bawah,” katanya.

Berkongsi mengenai kerjasama itu, Scha berkata, ia mewakili dirinya yang sukakan minimalis dalam bergaya.

“Saya fikir apabila raya kita nak buat sesuatu yang berbeza. Apabila bercakap mengenai sambutan Aidilfitri juga, orang akan pakai baju kurung dan jenama tempatan.

“Jadi, kenapa tidak saya buat sesuatu dengan jenama tempatan juga. Disebabkan itu timbul idea untuk bekerjasama dengan Christy Ng.

“Kalau tengok dari segi rekaan dan warna pun, memang ringkas dan minimalis. Dan ini adalah saya,” katanya.

Dari segi bayaran, Scha menafikan dia dibayar dengan jumlah tinggi.

“Saya tidak dibayar sekali gus. Bayaran ikut penjualan dan kerjasama ini tiga bulan saja iaitu bermula bulan ini hingga Aidilfitri ini,” katanya.

Menurut Scha, kerjasama seumpama itu sebagai duit poket dan persediaan jangka masa panjang jika dia tidak aktif dalam bidang seni lagi.

“Fesyen sesuatu yang dekat dengan saya. Jadi, buatlah dalam masa sama. Lagipun masa depan kita dalam industri tak boleh jangka berapa lama. Setiap hari boleh dikatakan ramai artis baharu.

“Saya selalu ingatkan diri, kena tahu apa nak dibuat pada masa depan jika sudah tidak terbabit dalam bidang seni. Jadi, ini satu cara saya cari duit poket supaya lebih bersedia.

“Bukan kata tak nak berlakon atau mengacara. Dua bidang ini kena ada untuk kekal relevan. Kalau tidak ada, orang pun tidak mahu bekerjasama dengan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:01 AM
Skip this ad x