Rizanizam Abdul Hamid

[email protected]@hmetro.com.my

BARU-BARU ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika membentangkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda di Dewan Rakyat berkata, kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion berbentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan kepada Felda.

Suntikan kewangan untuk penstrukturan dan pengukuhan operasi itu termasuk pelaksanaan inisiatif Felda.

Ia bertujuan melahirkan peneroka mahir dan inovatif bagi meningkatkan pendapatan melalui aktiviti pertanian serta ternakan dengan menggunakan teknologi baharu seperti perladangan bijak dan pertanian tepat.

Ikuti wawancara wartawan Rizanizam Abdul Hamid, jurugambar Salhani Ibrahim dan juruvideo Mohd Dzul Hijri bersama Pengerusi Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengenai perancangannya memacu Felda sebagai agensi juara ladang sekali gus mengembalikan keyakinan peneroka.


MEGAT Zaharuddin. FOTO Salhani Ibrahim

Pada pembentangan Kertas Putih diumumkan mengenai pelan jangka pendek, sederhana dan panjang. Minta Tan Sri huraikan.

Pelan jangka pendek membabitkan tambah baik tadbir urus. Ia sudah dilaksanakan sejak Ahli Lembaga Pengarah baharu dibawa masuk.

Ia juga bagi meningkatkan taraf pengurusan Felda. Usaha yang kita ambil adalah membawa masuk Ketua Pengarah Besar yang baharu dan ada lima lagi pengurusan tertinggi.

Jadi mereka dari luar ini ada kemahiran dan pengalaman berlainan dengan apa yang ada dalam Felda.

Berbekalkan pengalaman dan kepakaran itu, kita harap usaha pemulihan Felda dapat dipercepatkan selain membaiki tahap pengurusan supaya tiada penyelewengan dan juga pembaziran.

Pada masa sama, tiada lagi pelantikan dalam kalangan orang politik.

Pelan jangka panjang pula mnembabitkan usaha memajakkan semua tanah peneroka bagi tujuan menambahkan hasil dan mengurangkan kos pengeluaran.

Perincian untuk pajakan sekarang ini diteliti termasuk aspek masa yang sesuai hendak dilaksanakan, di mana, berapa jumlah pajakan, sama ada pajakan itu berbeza mengikut tanah peneroka.

Umumnya, peneroka memiliki 10 ekar (empat hektar) tanah sedangkan ada peneroka yang memilik lapan ekar (3.2 hektar) dan 14 ekar (5.6 hektar) tanah, bergantung kepada kawasan.

Selepas itu, kami mahu memastikan pendapatan minimum, tetapi jumlah itu belum lagi diputuskan.

Felda juga merancang untuk memberikan perkongsian pendapatan lebih kepada peneroka. Ini semua diteliti.

Bagaimana pula dengan usaha mengurangkan perbelanjaan?

Sekarang ini, dalam Kumpulan Felda termasuk agensi di bawahnya, kita ada 5,500 kakitangan. Ada yang kata kakitangan Felda ini kena kecilkan, sama ada kita ada ramai sangat petugas, itu masih dikaji.

Pada pandangan saya, apabila kita sudah buat model perniagaan baharu, sudah tahu macam mana nak uruskan hartanah, pelaburan dan sebagainya, mungkin angka kakitangan itu tak berapa besar perbezaannya.

Sekarang ini saya nak lebihkan tenaga kerja dalam sektor perladangan yang nampaknya masih kurang iaitu kira-kira 1,700 petugas sedangkan itu teras perniagaan kita.

Mungkin petugas yang memiliki kemahiran menggunakan dron dan bukan lagi cara konvensional yang tidak efisien, tepat dan kurang memuaskan hati pelanggan.

Adakah ini bermaksud Felda akan memberhentikan pekerja?

Kerajaan susah nak buang pekerja, tak boleh, malah hampir mustahil. Ia lebih kepada memberikan perhatian semula kepada bidang tertentu. Contohnya di ibu pejabat Felda, ramai petugas seronok di sini, tapi saya sebenarnya mahukan lebih ramai berada di wilayah (tanah rancangan Felda).

Adakah Jawatankuasa Pelaburan Felda yang ditubuhkan sebelum ini akan diteruskan?

Dalam kumpulan Felda, kita sentiasa melihat peluang pelaburan dan diharapkan, ia kebanyakannya strategik seperti FGV (FGV Holdings Bhd) dan EHP (PT Eagle High Plantation TBK Indonesia).

Apa yang kurang strategik itu bukan teras perniagaan Felda seperti hotel di Kuching, Sarawak dan di Terengganu.

Masa dulu ada banyak duit, kita buat ini tak apalah, tapi sekarang ini kos untuk pengurusan tinggi dan pendapatan pula kurang, jadi buat apa yang boleh dibuat. Mungkin kita lepaskan (jual) semua yang bukan teras perniagaan kita. Felda ini sepatutnya menjadi jaguh ladang, buat apa buat perkara lain.

Bagaimana usaha Felda untuk mengembalikan keyakinan peneroka selepas terpalit dengan pelbagai kontroversi?

Pertama sekali, apa yang paling mustahak adalah bagaimana kita dapat meningkatkan pengeluaran hasil ladang peneroka.

Kita perlu buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih pokok getah atau kelapa sawit, bagaimana klon tanaman itu boleh memberikan hasil pengeluaran tertinggi.

Saya mahukan secara purata hasil sawit kita adalah 24 tan metrik untuk keluasan tanaman satu hektar.

Selain itu, kita bina kemudahan asas kepada masyarakat peneroka ini di kawasan tanah rancangan dan membabitkan mereka dalam aktiviti sosial.

Kedua, dari segi pendidikan yang mana di setiap rancangan itu ada sekolah rendah, menengah, taska dan sebagainya.

Kita hendak pastikan tahap pendidikan mereka itu sehingga pelajar peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh pencapaian tertinggi.

Sasaran kita di masa depan untuk memastikan sekolah di rancangan Felda mencapai tahap keputusan SPM terbaik dalam kalangan sekolah di pedalaman.

Ketiga, dalam bidang aktiviti sosial. Kita beri bimbingan kepada belia melalui pembabitan dalam sukan dan aktiviti berkaitan pembangunan minda.

Felda kini mempunyai 39 anak syarikat sehingga ada yang kata jumlah itu terlalu banyak yang mungkin menyebabkan perbelanjaan tinggi. Apa pandangan Tan Sri?

Ya, macam aset kita di London, UK itu syarikat lain yang menguruskannya. Di Kuching syarikat lain, aset di Kota Kinabalu juga syarikat lain. Syarikat ini orang Inggeris kata adalah cara untuk buat fiscal optimisation.

Tak apalah kalau ada 39 syarikat, tapi mereka perlu aktif supaya apabila kita nak buat pelaburan strategik di masa depan, sudah ada syarikat tertentu yang efektif, biar tidak tergopoh-gapah nak daftar syarikat.

Pada pandangan saya, di FELDA ini cukup jika ada 15 atau 20 anak syarikat sahaja.

Kerajaan bersetuju memberi bantuan kewangan RM6.23 bilion. Ini termasuk RM2 bilion bagi menghapuskan kadar faedah. Adakah peneroka masih perlu menjelaskan hutang mereka?

Ya, keseluruhannya hutang peneroka dengan kita kira-kira RM7 bilion dan daripada jumlah itu, RM2 bilion adalah faedah hutang kebun yang kita setuju untuk hapuskan.

Tapi untuk layak dihapuskan faedah itu, peneroka mesti mula bayar balik hutang pokok, kalau tidak kita tak hapuskan.

Formulanya kita masih teliti. Contoh, kalau nak hapus faedah, kena bayar separuh hutang. Mungkin pakai formula seperti itu. Itu syarat yang pertama. Kedua, mereka mesti bawa hasil tanaman mereka kepada kita. Maknanya mereka mesti pajak tanah dengan kita dan sebagainya.

Boleh dinyatakan mengenai aset Felda di luar negara yang dicairkan?

Tahun lepas saya sudah kata, kita dalam proses penjualan, tapi proses itu lewat sedikit kerana beberapa sebab.

Apa yang mustahak adalah supaya kita boleh mencapai nilai jualan sama dengan kos beli dahulu. Tapi kami dapati ada aset kita beli dahulu harganya terlalu tinggi yang berpunca daripada beberapa sebab.

Penganalisis ekonomi nampak tidak setuju dengan langkah Felda mencairkan aset dalam keadaan ekonomi hari ini selain kedudukan ringgit yang lemah.

Kita kena seimbang kerana kita hendakkan aliran tunai. Duit bantuan kerajaan RM6.23 bilion itu belum pasti bila nak masuk ke akaun Felda.

Harga sawit ketika ini pula rendah dan kita kena juga jaga aliran tunai. Jadi, jika proses penjualan aset di London itu siap, bila dapat harga terbaik, kita akan jual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:01 AM