ENGGAN mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu kenyataannya disalah erti.
ENGGAN mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu kenyataannya disalah erti.
Syafil Syazwan Jefri


"NO komen.Tak nak!" kata bekas peserta Pencetus Ummah (PU) Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, atau PU Abu ketika diminta mengulas mengenai tindakannya dikatakan menceraikan isterinya yang dikenali sebagai Ain Afini yang hamil tujuh bulan dengan talak satu menerusi aplikasi WhatsApp untuk bernikah dengan janda seperti yang tular semalam.

Abu yang juga pendakwah bebas ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp berkata, dia enggan mengulas lebih lanjut kerana tidak mahu kenyataannya disalah erti.

"Tak nak. Saya sudah serik. Kenyataan saya disalah erti," katanya yang kini berada di Makkah.

Bagaimanapun, Abu memaklumkan dia akan membuat kenyataan rasmi pada 24 atau 25 April ini.

"Saya minta maaf. Saya akan buat kenyataan pada 24 atau 25 April. Buat masa ini, saya nak fokus untuk kerja di Makkah. Maafkan saya ya," katanya.

Terdahulu, dalam perkongsian menerusi Instagram, Ain berkata, talak itu dilafazkan suaminya pada 13 Mac menerusi WhatsApp kerana dia tidak bersetuju dengan permintaan suaminya untuk berpoligami.

“Pada 13.3.2019 saya telah dilepaskan dan ditinggalkan oleh bekas suami saya Pencetus Ummah Abu Sufyan kerana beliau memilih untuk bernikah dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

“PU Abu meminta saya bersetuju untuk berpoligami selepas dua bulan bernikah tetapi saya menolak kerana perkahwinan kami masih terlalu awal.

“Saya meminta dia memilih sama ada isteri dan anak atau wanita tersebut. Jadi dia memilih untuk meninggalkan saya dan anak yang dikandung ini,” tulisnya.

Ain berkata, dia cuba untuk merahsiakan perkara itu, namun Abu secara terbuka memuat naik foto bersama pasangan barunya di Instagram.

Ain juga memohon supaya tiada pihak yang akan mengganggu emosinya dengan pertanyaan berkaitan rumah tangganya memandangkan dia kini sedang hamil tujuh bulan.

Dia juga mahukan tempoh bertenang untuk bersalin dan berpantang. Selain itu, wanita itu juga akan membawa kes itu ke mahkamah sebaik habis berpantang kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 6:08 PM
Digital NSTP Subscribe