PIHAK berkuasa menyerbu pusat hiburan di Jalan P Ramlee, Bukit Bintang dalam Op BAH, malam kelmarin.
Mohd Azam Shah Yaacob


SERAMAI 82 pengunjung yang leka berhibur di kelab malam Jalan P Ramlee, Bukit Bintang, terkedu apabila pusat hiburan itu diserbu pihak berkuasa dalam Operasi Banteras Aktiviti Haram (Op BAH) 2.0, 11 malam kelmarin.

Ketika diserbu, kebanyakan mereka berusia 19 hingga 40 tahun dikesan mengambil minuman keras serta berpeleseran dengan pasangan yang dibawa.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Muhamad Irwan Abdullah berkata, susulan operasi itu seramai lapan remaja membabitkan lima lelaki dan tiga wanita ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Lumpur kerana positif mengambil dadah jenis methamphetamine.

Katanya, pengunjung terdiri 66 lelaki dan 16 wanita diberi notis hadir kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengikut Seksyen 43 Akta 559 Penyubahatan.


ANGGOTA penguat kuasa AADK mengambil sampel air kencing pengunjung kelab malam.

ANGGOTA penguat kuasa menyoal siasat pengunjung kelab malam.

“Dalam operasi malam tadi (kelmarin) yang turut disertai AADK, JAWI, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dua pusat hiburan diserbu.

“Namun, mengejutkan apabila serbuan dijalankan di lokasi kedua di Jalan P Ramlee di Bukit Bintang, pasukan operasi mendapati ia hanya dipenuhi remaja beragama Islam serta seorang lelaki berusia 40 tahun yang bukan saja berpeleseran malah ada antara mereka turut meneguk arak serta positif dadah,” katanya.


SEBAHAGIAN daripada pengunjung kelab malam yang ditahan dalam Op BAH.

Katanya, lapan remaja positif methampthetamine ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Katanya, kelab malam itu pula dikesan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 30(1) dan 30(2) Akta Syarikat 2016 kerana gagal mempamerkan nama serta nombor pendaftaran syarikat pada papan tanda premis dan pada resit rasmi perniagaan.

“Kita kecewa kerana individu beragama Islam memang dilarang keras memasuki mana-mana pusat hiburan termasuk kelab malam di negara ini.

“Dalam serbuan di lokasi kedua ini, pasukan operasi menemui kelab malam yang hanya dipenuhi remaja beragama Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:30 AM