Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PENGESAHAN awal dibuat Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, melalui bedah siasat mendapati serpihan tulang ditemui di Gua Kandu, Gopeng, adalah milik manusia.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, bedah siasat mendapati ia adalah tulang lama dengan keadaannya yang sudah reput.

Katanya, selepas disahkan tulang manusia, serpihan itu akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya, Selangor, untuk padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Tengah hari semalam, proses bedah siasat selesai di Jabatan Forensik HRPB, Ipoh dan pengesahan awal mendapati serpihan tulang ditemui itu adalah tulang manusia dan ia juga adalah tulang lama.

“Pada 2 petang semalam, kita sudah mengambil spesimen darah salah seorang ahli keluarga Mohammad Ashraf Hassan di Hospital Kampar.

“Serpihan tulang dan spesimen darah diambil itu akan dihantar ke Jabatan Kimia hari ini untuk tujuan padanan DNA,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.

Beliau berkata, padanan DNA yang akan dibuat adalah untuk membuktikan kaitan penemuan tulang itu dengan kehilangan Mohammad Ashraf, 29, pada 23 Mac lalu ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail.

Katanya, bagaimanapun keputusan ujian DNA itu nanti dijangka mengambil masa sebulan hingga dua bulan sebelum ia boleh disahkan dan pihaknya akan cuba mempercepatkan proses berkenaan.

Ditanya sama ada pencarian Mohammad Ashraf atau lebih mesra dengan panggilan Acap masih dijalankan penduduk selepas penemuan tulang itu, Hasron Nazri berkata, ia masih dijalankan namun dalam kumpulan kecil dengan kebenaran polis.

Berita berkaitan

Jumpa tulang panjang, serpihan tulang

'Itu bukan tulang Acap'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 12:52 PM