ERWIN dalami ilmu muzik.

Syafil Syazwan Jefri

[email protected]

Nama pelakon Singapura, Erwin Dawson tidak perlu diperkenalkan lagi. Tidak hanya berbekalkan rupa paras semata-mata, Erwin perlahan-lahan membuktikan bakat dan kemampuannya dalam bidang lakonan.

Walaupun lebih dikenali sebagai pelakon, Erwin sebenarnya berbakat sebagai penyanyi dan bergerak aktif dalam cabang seni itu. Baginya, apa saja pintu rezeki yang terbuka buatnya, dia akan ambil.

Namun, pada masa sama, dia sentiasa realistik dan sedar bahawa lakonan lebih membuahkan hasil pendapatan.

“Fokus utama saya masih lagi kepada bidang lakonan memandangkan itu adalah punca rezeki utama saya. Memang kalau diikutkan, saya nak sangat untuk kerja dalam kedua-dua cabang seni itu serentak. Namun, saya perlu menjadi lebih realistik,” katanya.

Menurut Erwin atau nama sebenarnya Mohamed Erwin Shah Evan Dawson, banyak lagi selok-belok dunia muzik yang perlu didalaminya.

“Saya kena belajar banyak lagi perkara dan selok-belok dalam dunia muzik sebelum saya benar-benar berikan tumpuan penuh. Insya-Allah, saya merancang untuk menyertai kelas vokal menjelang penghujung ini,” katanya.

Ditanya pendapatnya mengenai industri muzik tanah air, Erwin mengakui bahawa seseorang penyanyi itu perlukan satu karya yang kuat untuk menaikkan namanya.

“Apa yang penting adalah perlu ada karya yang kuat untuk naikkan nama seseorang penyanyi. Dari situlah kita akan mampu dapatkan keyakinan pendengar dan dapatkan tawaran persembahan,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan kerjaya lakonannya, Erwin berkata, dia sangat bertuah kerana diterima baik peminat Malaysia.

“Saya rasa sangat bertuah kerana penerimaan daripada peminat sangat menggalakkan. Sedar tak sedar, saya dah empat tahun berkarya dalam industri seni Malaysia.

“Selepas empat tahun menimba pengalaman di Malaysia, saya sedar kadang-kadang kita perlu juga memilih dalam menerima tawaran lakonan untuk kebaikan karier,” katanya.

Terbaru, Erwin baru saja melancarkan single duo bersama rakan senegaranya, Atrez berjudul Senang.

“Senang berkisar mengenai kehidupan dan mesej yang nak disampaikan menerusi lagu ini adalah, kehidupan itu ada onak dan durinya.

“Setiap orang perlu berdepan dengan pelbagai dugaan dalam hidup untuk mematangkan diri. Dalam erti kata lain, tak senang untuk menjadi senang,” katanya.

Menariknya dalam lagu berentak pop ini, Erwin melantunkan suaranya menggunakan teknik falsetto.

“Saya tak pernah menyanyikan keseluruhan lagu menggunakan teknik itu. Harap ia diterima baik pendengar dan penggemar muzik,” katanya.


KERJAYA lakonan tetap diutamakan walaupun berbakat sebagai penyanyi.

TERUSKAN HUBUNGAN DENGAN JULIA FARHANA

Tentunya kehidupan dan hubungan cinta seseorang ada naik turunnya. Bagi Erwin, dia sudah diduga dengan beberapa perkara termasuklah membabitkan cinta.

Ramai yang sedia maklum mengenai hubungan cintanya dengan pelakon Julia Farhana.

Ketika kedua-duanya diulit rasa cinta, mereka diduga sekali gus hubungan yang goyah, hancur pada tahun lalu.

Namun, kini kedua-duanya dikatakan kembali bersama dan hubungan cinta mereka kembali terjalin.

“Kami memilih untuk menjadi lebih ‘low profile’ jika ditanya mengenai cinta. Jika ada apa-apa berita baik, kami akan kongsikan,” katanya.

Tentunya peminat kedua-dua mereka mendoakan supaya hubungan pasangan selebriti ini menuju ke fasa perkahwinan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 5:00 AM