Syed Saddiq. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid


MAHU mengubah trend supaya Malaysia menjadi destinasi untuk persidangan dan konsert antarabangsa yang dapat menarik minat pelancong luar adalah antara objektif utama Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika ini.

Dalam kenyataan di Instagram (IG) miliknya hari ini, beliau memberikan contoh di Singapura apabila kumpulan rock Coldplay dan K-pop Bangtan Boys atau BTS memilih negara itu, Stadium Nasional Singapura dipenuhi peminat dan tiket terjual kurang daripada empat jam.

Kenyataan beliau susulan reaksi negatif rockers legenda Datuk Awie Wings menyifatkan hasrat Syed Saddiq untuk membawa BTS membuat persembahan di negara ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 akan menjahanamkan artis tempatan.

Berikut petikan kenyataan Syed Saddiq di IG. Laras bahasa diubah mengikut Bahasa Melayu persuratkhabaran:

“Tak serik ke kita asyik tewas ke Singapura, Thailand dan sekarang ini juga di tangan Indonesia serta Vietnam. Saya nak ubah trend ini. Dahulu, Malaysia sentiasa dipilih sebagai destinasi utama bagi persidangan peringkat antarabangsa dan konsert antarabangsa yang menarik minat ramai pelancong luar.

“Lihat sahaja di Singapura. Apabila Coldplay dan BTS memilih Singapura sebagai destinasi pilihan, Stadium Nasional mereka penuh. Tiket habis terjual kurang dari empat jam.

“Berpuluh ribu pelancong luar datang ke Singapura dan jelas negara itu dapat manfaat pelbagai dalam pelancongan. Dunia melihat Singapura bukan Malaysia. Kenapa saya bicarakan soal ini?

“Perbadanan Stadium Malaysia kini dikendalikan profesional, bukan sahaja lantikan politik. Dahulu, kita rugi dalam RM20 juta setahun, waima kemudahan kita adalah antara yang terbaik di Asia.

“Kini, selepas rundingan beberapa kontrak berat sebelah dan setelah saya melantik lembaga pengarah yang baharu, kita akhirnya dalam landasan betul untuk mendapat laba. Lihat sahaja bagaimana Stadium Wembley dikendalikan. Bukan sahaja untuk tujuan bola sepak, tetapi sebagai ruang ikonik yang disewa dan diguna pakai pelbagai program.

“Konsert, persidangan dan pelbagai lagi yang tentunya membawa keuntungan. Sekiranya tidak dimanfaatkan, bagaimana kita nak raih dana berjumlah puluhan juta untuk penyelenggaraan aset-aset kita?.

“Baru baru ini, kita berjaya membawa Ed Sheeran untuk membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil. Penuh stadium! Peminat dari Singapura dan Indonesia pun turun ke Malaysia. Stadium dan peralatan disewa dan peniaga kecil juga dapat nikmatnya. Sama juga semasa Tokti (Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin) membuat persembahan di Axiata Arena, penuh dan ramai yang dapat nikmatnya. Di Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Indonesia pun mereka jemput artis luar untuk datang, adakah ia bermaksud mereka tidak menghargai artis tempatan mereka?

“Kita mesti berani berfikir di luar kotak. Saya tidak mahu Malaysia sekadar menjadi pilihan kedua atau ketiga. Saya mahu Malaysia menjadi pilihan nombor 1.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:02 PM