GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin dan Sudirman Mohd Tahir


LEBIH daripada 30 artis muda popular atau dikenali ‘Budak Baru Nak ‘UP’ (BBNU) yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit diletakkan di bawah radar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.

Difahamkan, artis muda yang kebanyakannya menjadi ikon remaja itu meraih populariti mendadak selain mampu memperolehi pendapatan lumayan sehingga enam angka sebulan hasil persembahan, jemputan stesen televisyen, penajaan syarikat korporat atau hadiah program realiti disertai.

Malah, ada antaranya berbangga dengan lantikan sebagai duta produk, kereta mewah, perniagaan dalam talian serta aset dimiliki melalui perkongsian dengan peminat
di media sosial.

Malah, berdasarkan maklumat sumber, hanya kurang 10 peratus golongan artis muda ini yang mengisytiharkan pendapatan diperolehi secara sukarela kepada LHDN.

Golongan artis muda ini seolah-olah cuba bersikap naif dan mahu mengelak dari bersemuka dengan LHDN atas pelbagai alasan.

“Golongan artis muda sama ada penyanyi atau pelakon ini mungkin menyangka mereka ‘bebas’ dari tanggungjawab membayar cukai pendapatan LHDN berbanding artis lebih senior.

“Dalam isu cukai selebriti, tiada isu had umur sebagai pembayar cukai asalkan pendapatan diperolehi melebihi RM34,000 setahun. Setiap rakyat Malaysia perlu mendaftar fail cukai pendapatan masing-masing,” katanya.

Malangnya, beliau berkata, majoriti artis muda ini yang mengecapi pendapatan lumayan setiap bulan masih enggan ‘menyerah diri’ dan hadir ke pejabat LHDN.

“Walaupun wujud aplikasi e-Filing yang membolehkan pembayar cukai membuat pengisian dan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan borang anggaran secara dalam talian namun kemudahan itu kurang mendapat sambutan,” katanya.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN Masrun Maslim berkata, golongan artis dan selebriti harus faham mereka perlu membayar cukai pendapatan atas gaji, elaun, pendapatan menyanyi dan berlakon, perniagaan dalam talian, mengacara majlis, aktiviti Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM), hadiah kemenangan program atau anugerah, bayaran juri pertandingan dan lain-lain pendapatan.

Menurutnya, tiada istilah terkecuali malah ada segelintir anak atau bayi kepada selebriti turut dikenakan cukai pendapatan selepas menerima bayaran lumayan menjadi duta produk atau model syarikat tertentu.

“Walaupun masih bayi, namun ibu bapa mereka wajib mendaftar sebagai pembayar cukai LHDN bagi pihak anak masing-masing.

“Apa yang penting golongan artis atau selebriti tampil membayar cukai LHDN ketika di puncak populariti. Kita tidak mahu apabila karier mereka jatuh, barulah ada kesedaran untuk tampil membayar cukai.

“Ini akan menyukarkan mereka membuktikan jumlah pendapatan diperolehi sekaligus memungkinkan mereka dikenakan penalti tinggi atau dihadapkan ke mahkamah,” katanya.

Menurutnya, pihak LHDN memantau aktiviti artis muda ini dan mempunyai maklumat punca pendapatan diperolehi mereka.

Menurutnya, golongan selebriti termasuk artis muda ini seharusnya mengambil peluang menerusi Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) diperkenalkan LHDN yang hanya mengenakan 10 peratus penalti daripada jumlah cukai perlu dibayar.

“Fasa pertama PKPS ini dilanjutkan sehingga 30 Jun ini. Pada fasa kedua PKPS, bermula pada 1 Julai dan
tamat pada 30 September, pembayar cukai akan dikenakan kadar penalti
15 peratus,” katanya.

Menurutnya, golongan artis dan selebriti Malaysia yang masih tidak membayar cukai pendapatan atau tidak mendaftar sebagai pembayar cukai masih tinggi.

“Saya anggarkan kurang 20 peratus (selebriti) yang secara sukarela berurusan dengan LHDN. Selebihnya ada yang tidak mengemas kini rekod transaksi, tidak membayar cukai pada tarikh sepatutnya serta tidak mendaftar di LHDN,” katanya.

Menurutnya, LHDN memiliki keupayaan mengenal pasti mereka yang tersenarai dalam kelompok individu yang dikenakan membayar cukai secara mandatori.

“Namun apa yang menyedihkan, masih lagi ada dalam kalangan artis dan selebriti yang tidak melihat ia sebagai satu perkara yang serius,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 7:00 AM