ROSLI menunjukkan jeriji tingkap yang dibengkokkan bagi menyelamatkan abangnya. Gambar kecil, keadaan rumah yang terbakar.
Ahmad Ismail


SEGAMAT: “Saya nekad tarik badan abang menerusi tingkap bilik tidur ketika rumahnya terbakar,” kata Rosli Mohamed, 53, ketika menceritakan detik cemas dia menyelamatkan abangnya, Ramli Mohamed, 59.

Rosli, menjadi wira selepas kediaman abangnya di Kampung Batu Badak di sini, terbakar jam 2.50 pagi, semalam.

Katanya, ketika kejadian abangnya tidur seorang diri di rumah berkenaan dan dia menyedari kebakaran selepas mendengar jeritan Ramli meminta tolong.

“Jarak antara rumah kami cuma lima meter. Pada mulanya saya sangka bermimpi, namun terkedu selepas melihat kepulan asap tebal dan api marak di ruang tamu rumah abang.

“Saya cuba memecahkan pintu depan menggunakan batu bata, namun gagal. Saya semakin cemas apabila jeritan abang semakin perlahan dan lemah akibat terhidu asap.

“Kemudian saya memecahkan cermin tingkap dan membengkokkan jeriji besi luar bilik tidurnya menggunakan batu bata sebelum menarik abang keluar. Ketika itu, dia sudah tidak berdaya,” katanya di lokasi kejadian, semalam.

Dia bersyukur berjaya menyelamatkan abangnya dan pemeriksaan mendapati Ramli hanya cedera di tangan akibat terkena serpihan kaca.

“Sebenarnya saya bukanlah wira, kekuatan menyelamatkan abang adalah atas bantuan Allah SWT. Ketika itu, saya diberikan kekuatan untuk membengkokkan besi jeriji tingkap.

“Abang saya dibawa ke Hospital Segamat dengan ambulans dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Menurutnya, akibat kebakaran itu, mereka mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000 selepas peralatan dan perabot rumah musnah.

“Saya bersyukur kerana selepas berjaya menarik abang keluar, barulah api merebak ke bilik tidurnya. Kebakaran berlaku dipercayai akibat tong gas petroleum cecair (LPG) di dapur,” katanya.

Jelasnya, ketika kejadian, Ramli tinggal bersendirian kerana isterinya, Rozita Aziz, 56, ke Kuala Lumpur menemani anak lelaki mereka menghadiri temu duga sebagai anggota tentera.

Selain itu, katanya, tindakan pantas jiran, Zahari Ishak, 52, memancutkan air menyelamatkan Perodua Kancil milik Ramli daripada terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Abdullah, Herman Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.59 pagi.

Beliau berkata, susulan itu lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi bagi memadamkan kebakaran.

“Kami mengambil masa 40 minit untuk mengawal kebakaran dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran yang dipercayai akibat litar pintas.

“Orang awam dilarang daripada memasuki rumah kerana risiko berlaku runtuhan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:30 AM