Muhaamad Hafis Nawawi


LULUH hati wanita apabila berdepan ujian besar menjelang Ramadan selepas kehilangan suami dan anak serentak yang meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram, Tunjang, Kubang Pasu malam tadi.

Dalam kejadian 9.45 malam itu, Ahmad Tarmizi Kadir, 50, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya Muhammad Akhmal Ahmad Tarmizi, 16, meninggal dunia di Hospital Jitra selepas tercampak ke sawah padi.

Kejadian berlaku apabila Honda Wave ditunggang Muhammad Akhmal hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Modenas Kriss ditunggang bapanya yang dalam perjalanan pulang ke rumah.

Mohd Ridzuan Fadzil, 28, yang membonceng motosikal ditunggang Ahmad Tarmizi menerima jahitan di kening mata kanan sementara penunggang wanita berusia 40 tahun bersama anak perempuannya berusia empat tahun terselamat.

Honda Wave ditunggang wanita terbabit pula yang berada di belakang Ahmad Tarmizi turut terbabas selepas gagal mengelak.

Rosmima Harim, 49, berkata, sebelum kejadian, suaminya keluar dari rumah bersama jiran yang juga sepupu, Mohd Ridzuan selepas Maghrib.

Menurutnya, anaknya pula sempat membuat air sirap untuknya dan memanaskan lauk kenduri daging masak minyak untuk dimakan bersama seorang lagi anak bongsu perempuan berusia 14 tahun.

Jenazah Ahmad Tarmizi dan Muhammad Akhmal dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pulau Timbul. FOTO Amran Hamid
Jenazah Ahmad Tarmizi dan Muhammad Akhmal dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pulau Timbul. FOTO Amran Hamid

“Selepas menjamah makanan itu, anak saya memberitahu mahu keluar membeli kad tambah nilai telefonnya dan saya yang kepenatan menolong kenduri kahwin penduduk kampung tertidur.

“Tidak lama kemudian kawan anak datang memberitahu suami terbabit dalam kemalangan dan saya hubungi Akhmal namun gagal,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Timbul, Mukim Jeram hari ini.

Rosmima berkata, ketika itu dia masih belum mengetahui anaknya turut terbabit dalam kemalangan itu dan terus bergegas ke lokasi bersama anak saudara.

“Sebaik tiba mayat suami sudah ditutup dengan kain dan perasaan ketika itu tidak dapat digambarkan.

“Lutut saya lembik apabila rakan anak beritahu anak juga terbabit dalam kemalangan itu dan tercampak ke dalam sawah selepas bertembung sesama sendiri,” katanya.

Katanya, arwah suaminya ada menunjuk perubahan pelik sejak seminggu lalu apabila kurang bercakap seperti kebiasaan manakala anaknya pula meminta dia tidak bekerja sepanjang Ramadan ini menjual makanan.

“Anak saya seorang yang rajin dan dia bekerja membantu peniaga pasar malam malah Ramadan kali ini dia bercadang membantu menjual air di bazar Ramadan dan mahu memberi RM10 setiap hari kepada saya hasil upah itu.

“Dia juga sempat memberitahu ingin membeli baju raya biru laut tahun ini namun hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya yang reda dengan pemergian mereka.

Rosmima menunjukkan gambar suami dan anaknya yang maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri. FOTO Amran Hamid
Rosmima menunjukkan gambar suami dan anaknya yang maut selepas motosikal ditunggang mereka bertembung sesama sendiri. FOTO Amran Hamid

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila dua motosikal dari arah sama bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan yang hilang kawalan dan memasuki laluan terbabit.

Katanya, seorang meninggal dunia di tempat kejadian sementara anaknya meninggal dunia di hospital manakala yang lain terselamat dan cedera.

“Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, jenazah kedua-dua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Pulau Timbul 12.30 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 5:38 PM