POSA (tengah) ketika ditemu ramah media baru-baru ini.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Bukan saja persatuan bolasepak (FA) negeri, malah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) - badan pentadbir liga bola sepak negara, didakwa turut berhutang.

Jika FA negeri berhutang dengan pemain dan jurulatih, MFL pula dikatakan ‘berhutang’ dengan pengadil dan difahamkan jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit membabitkan tuntutan perjalanan pegawai perlawanan berkenaan.

Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mendakwa, MFL gagal membayar kos tuntutan perjalanan pengadil yang bernaung di bawah FAS dan jumlahnya dianggarkan RM30,000-RM40,000 sejak musim lalu hingga kini.

Katanya, beberapa FA negeri yang lain turut mengeluh mengenai kegagalan MFL menjelaskan bayaran berkenaan.

“Kalau lihat jumlah berkenaan memang kecil dan tidaklah banyak sangat. Tapi kalau jumlah sekecil itu pun gagal nak bayar, bagaimana mereka nak bayar geran tahunan yang mencecah jutaan ringgit,” katanya kepada Arena Metro.

Jelasnya lagi, kegagalan itu mencerminkan bahawa wujudnya kelemahan yang begitu ketara dalam sistem pengurusan MFL di bawah kendalian Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam.

“Kalau nak tahu, hutang itu tertunggak sejak tahun lalu. FAS ada tuntut tapi mereka tak bayar, mungkin mahu menolak daripada geran tahun ini. Namun jika benar, ia sistem kerja yang tidak betul dan tidak profesional.

“Sepatutnya tuntutan tahun lalu perlu menggunakan dana atau duit tahun lalu dan bukannya guna dana musim ini. Macam mana FA negeri nak jadi profesional jika mereka sendiri tak profesional,” katanya yang bertegas mahu Kevin melepaskan jawatan.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan balas MFL berhubung insuran setiap pasukan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), beliau menuntut bukti polisi nombor insuran bagi setiap pasukan bertanding.

“Kenyataan itu mencurigakan. Kami di FAS langsung tidak dimaklumkan mengenai insuran berkenaan. Jika benar dibuat pada awal musim ini, saya mahu beliau bagi nombor polisi supaya kami boleh simpan sebagai tuntutan jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Rabu lalu, Posa mendesak supaya Kevin segera meninggalkan MFL selepas wujud pelbagai kepincangan dalam sistem pengurusan organisasi itu yang ditubuhkan pada 2015.

Desakan itu berasaskan enam ‘dalil’ mengenai kelemahan MFL iaitu kehilangan tajaan terbesar Telekom Malaysia (TM), jadual perlawanan bercelaru, isu penyertaan dan pembatalan Perlis, kontroversi insurans pemain, hutang MFL kepada pasukan dan isu ahli lembaga pengarah MFL.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:30 AM