PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi (dua dari kanan) bersama ahli persatuan Seniman berkunjung ke Unit Selebriti LHDN, baru-baru ini.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nurul Hidayah Bahaudin


KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,000 surat dan makluman melalui e-mel dihantar Lembaga Hasil Dalam negeri (LHDN) kepada golongan artis tempatan dalam usaha menggalakkan mereka membayar cukai pendapatan sejak awal bulan lalu.

Bagaimanapun, difahamkan daripada jumlah itu, hanya 10 peratus atau 100 artis hadir membuat pengakuan sukarela cukai dan memberikan maklum balas kepada LHDN.

Pegawai Perhubungan Awam Media LHDN, Masrun Maslim, sambutan dingin golongan artis terhadap LHDN tidak mematahkan semangat pihaknya mendekati golongan selebriti tempatan ini.

Menurutnya, penubuhan Unit Selebriti LHDN diuruskan 20 pegawai khas LHDN adalah bertujuan membantu golongan selebriti yang berhadapan masalah berkenaan.

“Ada antara artis menyerahkan tugas membayar cukai pendapatan kepada pengurus artis atau ejen cukai tidak bertauliah. Tindakan ini menyukarkan keadaan apabila pengurus artis terbabit atau ejen cukai berkenaan tidak menjalankan tugas dengan baik, malah gagal memberikan maklumat tepat diperlukan LHDN.

“Kelemahan paling serius dikesan adalah kebanyakan artis tidak menyimpan resit pembayaran diterima serta dokumen perbelanjaan, sekali gus gagal membuktikan jumlah pendapatan sebenar diperoleh selain perbelanjaan dilakukan.

“Ini mengakibatkan berlaku masalah salah faham apabila mereka keliru atau tidak memahami prosedur sebenar ketika berurusan dengan agensi LHDN,” katanya.

Masrun menasihatkan golongan selebriti tampil menemui LHDN lebih awal terutama ketika karier mereka berada di puncak bagi mengelakkan berlaku tunggakan cukai lama dalam jumlah banyak.

“Sebaik saja masuk dalam industri ini, individu dinasihatkan mengemukakan dokumen berkaitan untuk urusan pembayaran cukai pendapatan. Lebih awal mereka tampil, lebih mudah menguruskan bayaran cukai supaya teratur dari mula sampai hujung.

“Pada masa sama, LHDN memberi peluang kepada mana-mana individu menyertai program pengakuan sukarela yang mengenakan penalti minimum iaitu 10 hingga 15 peratus saja berbanding peratus penalti lebih tinggi yang boleh dikenakan selewat-lewatnya 30 September nanti,” katanya.

Harian Metro Sabtu lalu mendedahkan tindakan ramai artis muda popular atau dikenali Budak Baru Nak Up (BBNU) yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit namun didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.

Berdasarkan maklumat sumber, hanya kurang 10 peratus golongan artis muda mengisytiharkan pendapatan diperoleh secara sukarela kepada LHDN.

Walaupun wujud aplikasi e-Filing yang membolehkan pembayar cukai membuat pengisian dan menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan borang anggaran secara dalam talian namun kemudahan itu kurang mendapat sambutan.

Masrun dalam ulasannya berkata, golongan artis dan selebriti harus faham mereka perlu membayar cukai pendapatan atas gaji, elaun, pendapatan menyanyi dan berlakon, perniagaan dalam talian, mengacara majlis, aktiviti Pemasaran Berbilang Tingkat (MLM), hadiah kemenangan program atau anugerah, bayaran juri pertandingan dan lain-lain pendapatan.

Menurutnya, tiada istilah terkecuali, malah ada segelintir anak atau bayi kepada selebriti turut dikenakan cukai pendapatan selepas menerima bayaran lumayan menjadi duta produk atau model syarikat tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 6:30 AM