MAZLAN (kanan) menunjukkan antara sijil cuti sakit yang palsu yang dikeluarkan sindiket ketika sidang media di IPK Kuala Lumpur, semalam.
Hidayatul Akmal Ahmad


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket menjual sijil cuti sakit (MC) palsu susulan penahanan enam individu termasuk dalangnya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kegiatan itu terbongkar selepas menerima laporan daripada penolong pegawai tadbir sebuah jabatan kerajaan.

“Pengadu memaklumkan cuti sakit diterima daripada kakitangan mereka palsu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, pengadu memaklumkan hospital yang kononnya MC itu dikeluarkan mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sijil cuti sakit berkenaan dan tiada rekod pesakit terbabit datang ke hospital itu pada tarikh berkenaan.

Mazlan berkata, siasatan terhadap kakitangan itu mendapati dia membeli sijil cuti sakit berkenaan pada harga RM25 daripada pihak ketiga.

Bertindak atas laporan dan hasil maklumat risikan, sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia 27 hingga 42 tahun di sekitar ibu negara dan Selangor minggu lalu.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, kediaman dan premis percetakan, polis merampas beberapa barangan,” katanya.

Beliau berkata, antara barang dirampas adalah 216 pelbagai cap doktor klinik swasta dan kerajaan, 4,631 MC klinik dan hospital kerajaan, 257 buku sijil MC bersama buku resit rasmi klinik swasta, lima unit telefon bimbit dan satu set komputer.

Mazlan berkata, modus operandi digunakan adalah dua ahli sindiket bertindak sebagai orang tengah menerima tempahan daripada pembeli melalui panggilan telefon.

“Nombor telefon suspek diperoleh pembeli melalui kenalan yang pernah mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Selepas menerima tempahan, orang tengah berurusan dengan suspek ketiga yang bertindak sebagai penjual MC untuk klinik swasta. Sekiranya tempahan pembeli membabitkan MC hospital atau klinik kerajaan, suspek ketiga berurusan dengan suspek keempat selaku penjual MC kerajaan,” katanya.

Mazlan berkata, MC palsu dijual kepada orang tengah dengan harga RM10 hingga RM15 sekeping bergantung kepada jumlah tempahan diterima.

“MC yang siap dihantar kepada pembeli di mana-mana tempat dijanjikan di sekitar Lembah Klang secara bersemuka,” katanya.


PELBAGAI cop doktor dan sijil cuti sakit daripada klinik swasta dan kerajaan yang dirampas.

Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati sindiket menjual MC itu beroperasi sejak lapan bulan lalu.

“Dua suspek awal dibebaskan dengan jaminan polis manakala empat lagi disambung reman selepas tamat tempoh reman pertama hari ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebatan dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:00 AM