GAMBAR hiasan
Muhammad Apendy Issahak


BAYI perempuan selamat dilahirkan dalam bas ekspres ketika dalam perjalanan ke Ipoh dekat Tapah, petang semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, ibu bayi berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari ibu negara untuk ke Ipoh menaiki bas ekspres itu.

Pemandu kedua bas itu, Mohammad Faisal SH Omar, 28, ketika kejadian dia sedang tidur dan bas dipandu pemandu utama.

“Suami kepada seorang wanita datang meminta bantuan pada pemandu utama, namun rakan sekerja saya meminta mengejutkan saya.

“Ketika itu bas baru melepasi kawasan hentian Ladang Bikam dan suami wanita terbabit mengejutkan saya untuk meminta bantuan jika ada peti pertolongan cemas.

“Saya terkejut apabila mendapati isterinya sudah selamat melahirkan bayi perempuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bayi berkenaan dilahirkan di tempat duduk penumpang belakang dengan dibantu empat penumpang wanita lain.

“Bas kami dalam perjalanan dari Batu Pahat, Johor untuk ke utara dengan membawa 11 penumpang termasuk suami dan isteri yang sarat mengandung itu.

“Pasangan berkenaan menaiki bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di ibu negara dan ingin menuju ke Ipoh,” katanya.

Mohammad Faisal berkata, sebaik mengetahui bayi berkenaan dilahirkan, pemandu utama kemudian memasuki kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah utara sebelum menghubungi pihak hospital untuk bantuan lanjut.

“Ini pengalaman pertama saya sejak enam bulan bekerja dengan syarikat bas ini.

“Alhamdulillah wanita terbabit dan bayi perempuannya selamat,” katanya.

Sejak malam tadi, tular gambar dan video kejadian bayi perempuan dilahirkan dalam bas berkenaan di R&R Tapah arah utara dan rata-rata netizen mengucapkan tahniah terhadap kelahiran jarang berlaku itu.

Sementara itu, ibu bapa bayi perempuan terbabit yang ditemui di wad bersalin Hospital Tapah, hari ini enggan memberi sebarang komen dan mengatakan sudah membuat laporan polis berhubung penularan gambar dan video kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada ibu bapa kepada bayi perempuan yang dilahirkan dalam bas ekspres terbabit.

“Ibu bapa berkenaan membuat laporan pada 3.30 petang tadi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan agar gambar dan video kejadian itu tidak disebarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 6:23 PM