DARI kiri, Sani, Rosli dan Rozaini di samping basikal yang dimiliki mereka.
Togi Marzuki


PONTIAN: Sanggup meredah perjalanan jauh menjelajahi pelosok negara jiran Indonesia, semata-mata mahu mendapatkan koleksi basikal klasik.

Itu antara pengalaman ditempuhi Sani Zainal, 44, dalam usaha mengumpulkan model basikal lama yang semakin dipinggirkan masyarakat.

Bapa kepada empat anak itu yang berasal dari Kampung Parit Kecil, Batu 35, Jalan Pontian, Johor, di sini, juga tidak keseorangan, bahkan turut berkongsi hobi unik itu bersama dua beradiknya yang lain.

Dia tidak menyangka hobi mengumpul basikal secara suka-suka selain gemar menggunakan basikal klasik atau basikal tua sejak setahun lalu menarik minat adik-beradik lain.

Buktinya, Rosli, 42, yang menetap di Johor Bahru dan bekerja sebagai kontraktor binaan serta abangnya, Rozaini, 57, yang juga guru dan tinggal di Jalan Parit Masjid, Pontian, memiliki basikal sama.

Mereka mempunyai lapan basikal antik pelbagai jenama seperti Raleigh, Philips dan Sun Beam.


SANI menunjukkan antara basikal klasik yang dimiliki.

Bagi memastikan koleksi berharga itu tidak terkubur, mereka sanggup mengeluarkan modal membeli basikal di beberapa lokasi termasuk Pontian, Batu Pahat dan Indonesia pada harga antara RM400 hingga RM3,000.

Lebih menarik, tiga beradik itu melakukan aktiviti kayuhan bersama pada waktu lapang di kawasan kampung dan bandar.

Sani yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, perkongsian hobi itu mampu mengimbau semula kenangan silam dalam era 1960-an.

“Ketika itu basikal menjadi pengangkutan utama semua lapisan masyarakat berbilang kaum, namun kini hilang akibat arus pemodenan.

“Biasanya pada hujung minggu atau hari cuti am, kami tiga beradik akan membawa basikal tua yang disimpan di rumah Rozaini di Jalan Parit Masjid dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke lokasi kayuhan,” katanya yang bekerja di syarikat swasta di Pekan Nanas, di sini.

Menurutnya, kayuhan basikal tua memang menyeronokkan dan pada masa sama memberi peluang kepada generasi muda mengenali pengangkutan yang semakin dilupakan.

Katanya, aktiviti kayuhan bukan saja baik untuk kesihatan tetapi memanjangkan hayat basikal tua yang semakin luput ditelan zaman.

Menurutnya, basikal tua banyak berjasa, selain ia menjadi pengangkutan penduduk kampung satu ketika dulu.


BASIKAL pelbagai jenama yang dimiliki tiga beradik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:00 AM