LIZA Hanim, Khai Bahar hidangkan persembahan memukau di Konsert Diraja UKM sempena meraikan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. FOTO: Syarafiq Abd Samad
Norhayati Nordin


KONSERT Diraja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2019 berlangsung meriah baru-baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Dua penyanyi terkenal, Liza Hanim dan Khai Bahar tampil menghiburkan penonton dengan persembahan nyanyian mantap.

Kali pertama diundang UKM untuk acara persembahan gemilang itu, Liza dan Khai berjaya memukau penonton dengan vokal bertenaga yang gemersik.

Pun begitu, tetamu lebih dulu dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada mahasiswa UKM iaitu Fadhli Hariz Fayahet yang pernah dinobatkan juara Bintang RTM 2018.

Hariz tampil menyanyikan lagu pembukaan iaitu Tahun Melawat Negeri Sembilan dengan diiringi penari kumpulan Artisukma UKM.

Hiburan istimewa diteruskan dengan persembahan Nasrul Farhan Rizal yang mendendangkan lagu Sinaran.

Diikuti, nyanyian kedua Hariz dengan lagu Inggeris berjudul Never Enough. Tampil selepas itu, Nur Emilia Omar dengan lagu Jutaan Purnama.

Sebagai penutup persembahan daripada mahasiswa UKM, Hariz berpadu vokal dengan Roshanizah M Roslan menyanyikan lagu duet Kisah Ku Inginkan dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Judika.


KHAI ketika membuat persembahan.

Tidak melupakan elemen persembahan tradisional, ditampilkan paduan alunan muzik cak lempong dan gamelan oleh kumpulan Gamelan Slendro dan kumpulan Cak Lempong UKM dengan lagu Lambaian Nogoriku.

Bagi memeriahkan lagi Konsert Diraja UKM 2019, persembahan khas turut menampilkan Felo Diraja UKM, Tunku Zain Al-A’bidin Ibni Tunku Muhriz dengan lagu Jikalau Ku Tahu diiringi alunan piano dimainkan baginda.

Merancakkan lagi persembahan, Khai Bahar muncul menyanyikan dua lagu popularnya berjudul Luluh dan #123.

Tampil kemudian, Liza Hanim dengan lagu popular penghujung era 1990-an berjudul Gelisah Mimpi dan Getaran Cinta Di Jiwa.

Persembahan penyanyi diiringi Orkestra Kuala Lumpur di bawah pimpinan Konduktor Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Isa Ismail.

Rangkaian lagu dipilih untuk persembahan mendapat gubahan semula susunan muziknya oleh tokoh muzik terkenal tanah air, Profesor Iktisas Pusat Kebudayaan UKM, Datuk Dr Johari Salleh.


ANTARA penyanyai dari UKM mempersembahkan lagu sempena Konsert Diraja Univerti Kebangsaan Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam ucapannya berkata, konsert itu diadakan UKM sempena meraikan Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor universiti itu.

“Ia ucapan tahniah daripada UKM kepada baginda sempena keputeraan ke-71 serta sanjungan warga UKM sempena ulang tahun ke-10 sebagai Canselor.

“Selama sedekad menaungi UKM, ternyata banyak kejayaan di pentas pendidikan berprestij sudah diperoleh universiti ternama negara ini. UKM sangat berdaya saing,” katanya.

Abdul Wahid berkata, akan terus menjadi acara tradisi di UKM menganjurkan konsert istimewa itu sebagai tanda penghargaan universiti kepada Canselor dikasihi.

Turut hadir mencemar duli adalah, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud berserta kerabat diraja negeri penuh adat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 6:00 AM