LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hamzah Osman


JANDA anak tiga ditahan polis malam tadi selepas membuang bayi yang ditemui berulat dalam plastik hitam di tepi jalan berdekatan terowong Kampung Dato Syed Nahar, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, wanita berusia 36 tahun itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah, ditahan 9.30 malam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi.

Menurutnya, siasatan awal suspek mengaku membuang bayi itu hasil hubungan terlarang bersama teman lelakinya yang dikenali melalui aplikasi Bee Talk.

“Suspek mengalami tumpah darah pada empat hari lalu sebelum melahirkan bayi itu ketika kandungannya baru berusia tujuh bulan di tempat kerjanya.

“Dia kemudian memasukkan bayi itu ke dalam beg plastik dan membuangnya di longgokan sampah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek juga memiliki tiga anak berusia dua hingga 17 tahun akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Harian Metro semalam melaporkan, mayat bayi masih belum dikenal pasti jantina ditemui berulat dalam plastik hitam dipercayai dibuang sejak empat hari lalu di tepi jalan berdekatan terowong Kampung Dato Syed Nahar, Langkawi.

Berita berkaitan

Mayat bayi berulat dalam plastik hitam

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 9:29 AM