HAFFISZATTUL dan suami, Sheikh Muhammad Bukhary bersama Sheikha Zulaikha.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

“SAYA mengharapkan Ramadan kali ini akan memberi keajaiban buat anak kami yang sedang bertarung nyawa,” kata Haffiszattul Nur Akmar Samsudin.

Haffiszattul, 30, berkata tahun ini dia dan suaminya, Sheikh Muhammad Bukhary Sheikh Basir, 33, menyambut Ramadan di sebuah hospital di Petaling Jaya, menemani puteri kesayangan mereka, Sheikha Zulaikha yang menderita Hemophagocytic Lymphohistiocytosis (HLH).

“Kami sudah berkampung di hospital sejak 19 April lalu selepas keadaan Zulaikha tidak stabil dan kerap demam panas.

“Jadi Ramadan ini juga kami akan berpuasa di sini kerana keutamaan kami hanya kepada Zulaikha,” katanya.

Dia yang sedang hamil lapan bulan berkata, pemindahan sum sum tulang yang sepatutnya dijadualkan Khamis lalu, terpaksa ditunda sehingga keadaan bayi berusia 16 bulan itu stabil.

“Sistem padanan antigen leukosit manusia (HLA) antara suami dan Zulaikha adalah 70 peratus, namun pakar sedang sedaya upaya mengekalkan keadaan Zulaikha supaya lebih sihat dan mampu menerima sum sum tulang baru.

“Jika pemindahan sum sum tulang dibuat sekarang ibarat mencabut nyawanya saja jadi ia terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Katanya, Zulaikha kini sedang dipantau di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) selepas sesak nafas dan mengalami gangguan sistem pembekuan darah sejak dua hari lalu.

“Najisnya berwarna hitam dan ada tanda pendarahan pada perutnya dan apabila ambil darah pada tangannya darah keluar lambat berhenti.

“Semua ini berlaku disebabkan penyakit HLH yang dialaminya itu semakin mengganas dan kini paras Ferritin Zulaikha mencapai 120,000 berbanding bayi normal sebayanya cuma 500 Ferritin.

“Jadi, buat masa ini doktor hanya boleh memberikan ubat khas untuk mengawal pendarahan dalam badannya terlebih dulu,” katanya.

Sempena mengambil keberkatan Ramadan ini, mereka sekeluarga memohon rakyat Malaysia mendoakan kestabilan kesihatan Zulaikha supaya nyawanya dapat diselamatkan menerusi pemindahan sum sum tulang.

“Tiada apa yang kami harapkan, cuma mohon rakyat Malaysia semua mendoakan anak kami kuat melawan penyakitnya yang sedang merebak dalam tubuh badannya sekarang,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban kewangan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun semasa Maybank 506016887265 atas nama Haffiszattul Nur Akmar.

Pada 11 April lalu Harian Metro menyiarkan penderitaan Zulaikha yang mengalami HLH atau masalah sistem imun badan tidak stabil hingga menyebabkan perkembangan bayi itu terbantut dan menjadi pasif, selain hanya badan semakin membesar dan perut membuncit.

Pakar perubatan mencadangkan pemindahan sum sum tulang perlukan dilakukan 2 Mei lalu bagi menyelamatkan nyawanya dengan kos mencecah RM150,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 6:33 AM