SYAZLIN hadir untuk inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib di Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. FOTO Faiz Anuar.
Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Koroner Shah Alam, hari ini menetapkan Jumaat ini bagi memanggil semula saksi pakar patologi untuk memberikan keterangan dalam prosiding inkues menentukan penyebab kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad menetapkan sedemikian selepas beliau menolak permohonan pihak berkepentingan, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Syazlin Mansor untuk menangguhkan prosiding inkues itu.

Rofiah dalam penghakimannya berkata, beliau tidak berhasrat untuk melengahkan prosiding inkues sementara menunggu keputusan di Mahkamah Rayuan nanti.

“Justeru, inkues akan diteruskan pada Jumaat (10 Mei) dengan memanggil semula saksi ke-24.

“Perkembangan seterusnya berhubung inkues ini nanti akan bergantung pada prosiding pada 10 Mei nanti,” katanya dalam sebutan inkues itu, hari ini.

Bagaimanapun, Rofiah memberitahu pihak peguam supaya memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan rayuan di Mahkamah Rayuan itu.

Terdahulu, Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin memberitahu mahkamah permohonan penangguhan lanjutan perlu dipohon di Mahkamah Tinggi.

“Bagaimanapun, permohonan penangguhan lanjutan itu tidak dibuat pihak peguam di Mahkamah Tinggi.

“Malah, dalam prosiding lalu di Mahkamah Tinggi mengarahkan supaya inkues ini didengar semula di Mahkamah Koroner pada 10 Mei,” katanya.

Bagaimanapun, Syazlin dalam hujahannya menjelaskan, pihaknya tidak berniat untuk menangguhkan prosiding inkues itu, namun mengambil kira faktor pasukan pengendali inkues yang terlebih dahulu membuat penangguhan kerana membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan itu, saya memohon supaya membenarkan prosiding di Mahkamah Rayuan berjalan terlebih dahulu,” katanya.

Dalam prosiding lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pasukan pengendali inkues untuk memanggil semula saksi ke-24 bagi memberi keterangan.

Peguam yang mewakili Muhammad Adib kemudian menghantar rayuan di Mahkamah Rayuan pada 3 Mei lalu bagi menyemak semula keputusan itu.

Koroner Rofiah pada 22 April lalu menolak permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24, Pakar Bedah Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi.

Permohonan pegawai pengendali untuk memanggil semula saksi ke-24 dibuat selepas saksi ke-29, Prof Dr Shahrom Abd Wahid yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi Hospital Canselor Tuanku Mukhriz memberikan keterangan dalam inkues itu.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, mengesahkan menerima laporan polis di Balai Polis Subang Jaya daripada dua doktor pakar dari Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang juga saksi prosiding inkues kematian Muhammad Adib.

Susulan itu, seorang lagi saksi pakar turut membuat laporan polis berhubung satu laporan akhbar mengenai dirinya yang didakwa mengugut saksi lain dalam prosiding itu

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2019 @ 5:07 PM