MAZNAH membawa Ammar Izzat dan Nurul Fatihah menziarah kubur bapa mereka di Tanah Perkuburan Masjid Tanah.
MAZNAH membawa Ammar Izzat dan Nurul Fatihah menziarah kubur bapa mereka di Tanah Perkuburan Masjid Tanah.
Mohd Hilmie Hussin


ALOR GAJAH: “Saya dapat nombor satu, adik dapat nombor dua, tapi tak sempat nak tunjuk pada ayah. Ayah sudah meninggal dunia,” kata Nurul Fatihah Abdul Rahim, 9.

Sayu apabila mendengarkan kata-kata murid tahun tiga itu mengenai keterujaannya mahu berkongsi kegembiraan mendapat tempat pertama dalam peperiksaan sekolah rendah agama yang tidak kesampaian apabila bapanya meninggal dunia pada Mac lalu.

Nurul Fatihah berkata, dia bersama adik, Ammar Izzat, 8, dibawa ke Hospital Ampang, Kuala Lumpur pada Mac lalu untuk menziarah bapa mereka, Ismail Osman, yang dirawat akibat penyakit darah tinggi kronik.

Katanya, peluang itu mahu digunakan untuk memberitahu khabar gembira mereka mendapat tempat pertama dan kedua dalam peperiksaan namun tidak kesampaian.

Peritnya nasib dialami dua beradik ini, begitu jugalah sukarnya untuk mereka menempuh hari-hari mendatang.

Dua beradik itu berbin dan berbintikan Abdul Rahim, namun nama sebenar bapa mereka Ismail Osman.

Semuanya gara-gara bapa dan ibu mereka dinikahkan sindiket nikah palsu, satu ketika dulu.

Sambil mengakui ibu mereka kurang mengambil peduli, ibu saudara iaitu kakak kepada bapa kanak-kanak terbabit, Maznah Othman, 60, memikul tanggungjawab menjaga dua beradik itu, namun kehidupannya sendiri serba kekurangan.

Begitupun, Nurul Fatihah mengakui enggan berpisah dengan ibu saudaranya itu yang dipanggil Mak Teh.

“Saya dan adik nak tinggal dengan Mak Teh, tak mahu pisah, tak mahu keluarga angkat lain,” katanya.

Sementara itu, Maznah yang melakukan kerja sukarela dengan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) hanya meraih pendapatan kira-kira RM500 sebulan, mengakui dua anak saudaranya sukar mendapat bantuan kerana taraf kelahiran mereka.

Katanya, Ismail yang sudah meninggal dunia sebelum ini bernikah dengan wanita berasal dari Sabah di Kuala Lumpur, disaksikannya bersama adik-beradik lain.

“Namun, malangnya saya difahamkan mereka dinikahkan sindiket pernikahan palsu, sekali gus menyebabkan tiada sijil nikah dikeluarkan, lalu anak saudara saya tidak didaftarkan bin dan binti kepada Ismail,” katanya.

Maznah yang dikunjungi Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin baru-baru ini berkata, dia turut didatangi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun tidak menaruh harapan bagi dua anak saudaranya itu mendapat bantuan berikutan kesukaran dilalui.

Selain dua anak saudara yang dijaganya, Maznah mempunyai dua anak lelaki, Luqman Hakim Z Rosli, 21, dan Luqman Arif, 19, yang kini berusaha mencari pekerjaan.

Katanya, dia menjaga Nurul Fatihah dan Ammar Izzat sejak dua beradik terbabit berusia lima dan empat tahun berikutan arwah adik dan adik iparnya menyuarakan ketidakmampuan menjaga anak mereka.

Mengulas mengenai kehidupannya di pada Ramadan ini, Maznah berkata, dia bersyukur kerana biarpun dengan pendapatan sedikit, rezekinya tidak pernah kering.

“Saya menerima elaun bantuan makanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) RM200 sebulan, cukup untuk bekalan dapur, selebihnya saya perlu cari dengan melakukan pelbagai kerja termasuk mengambil upah membina pagar di rumah orang kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 6:00 AM