NADIA BRIAN. -Foto Faiz Anuar
Ardini Sophia Sina


DETIK perkenalan antara Nadia Brian dan tunangnya, Mu’izz Nasruddin bermula kira-kira dua tahun lalu.

Bagaimanapun, ketika itu bibit cinta belum bercambah apatah lagi pelakon wanita terbabit komited dengan karier seninya.

Mu’izz mengakui, bukan mudah menawan hati wanita itu. Namun, jejaka yang bekerja sebagai pengurus akaun di sebuah syarikat teknologi itu tidak pernah putus asa.

Bagaimanapun, jika sudah jodoh tidak ke mana. Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 4 Mei lalu dalam majlis yang hanya dihadiri keluarga dan teman rapat kedua-dua pihak.

Dimulakan dengan berbalas pantun oleh wakil keluarga Nadia dan Mu’izz hingga cincin disarungkan diikuti tujuh wakil keluarga pihak lelaki menyuapkan manisan kepada pelakon itu sebagai tanda restu, semuanya serba indah.

IBU Mu’izz, Nona Suin (kanan) menyarungkan cincin kepada Nadia (tengah) sambil diperhatikan ibu Nadia, Husmarita Hussain (kiri). -Foto FAIZ ANUAR

Senyuman yang terukir sudah cukup menggambarkan hati dan perasaan Nadia apabila bergelar tunangan Mu’izz.

Dia juga mengakui bertuah dicintai seorang lelaki yang sabar dan bersungguh-sungguh mencintainya.

“Saya rasa mana-mana wanita pun akan terbuka hati menerima cinta seorang lelaki yang sanggup lakukan apa saja demi melihat orang yang dikasihinya gembira.

“Saya bertuah kerana Mu’izz bukanlah seorang yang kuat cemburu. Dia faham tuntutan kerja saya sebagai pelakon. Dia juga tahu kemesraan dengan mana-mana pelakon lelaki hanya di skrin televisyen dan tidak terbawa-bawa ke luar lokasi.

“Bagi membuat dia lebih faham cara kerja pelakon, saya bawa dia ke lokasi penggambaran supaya dapat melihat dan menilai sendiri suasana tempat kerja saya. Untuk membina kepercayaan dalam hubungan, saya juga perlu memainkan peranan untuk menjaga hatinya,” katanya.

AHLI keluarga Nadia bergambar kenangan. -Foto FAIZ ANUAR

AHLI keluarga Mu’izz bergambar kenangan. -Foto FAIZ ANUAR

Ada perkara yang menyebabkan Nadia yakin Mu’izz mampu menggalas dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga terutama sikap telus jejaka itu antara yang meyakinkan Nadia untuk menerima cintanya.

Ketika bersama Mu’izz, Nadia tidak perlu berpura-pura dan bebas menunjukkan dirinya yang sebenar.

Situasi itu membuatkan dia selesa untuk terus bersama jejaka berkenaan.

Dalam tempoh tiga bulan, hubungan mereka menjadi makin serius. Jadi, Mu’izz tidak mahu menunggu lama dan pada Oktober tahun lalu, Mu’izz mengajak keluarganya merisik pelakon yang pernah membintangi drama Dendam Aurora dan filem Bu itu.

Lamaran Mu’izz di Paris berlatarkan Menara Eiffel cukup membuktikan jejaka itu benar-benar ikhlas menjadikan Nadia sebagai suri hidupnya.

Pelakon itu sama sekali tidak menyangka dirinya dilamar di hadapan orang ramai dan pelancong.

NADIA (kanan) dan Mu’izz. -Foto FAIZ ANUAR

SUDAH ADA TARIKH NIKAH

Sama seperti pasangan bercinta lain, sudah pastilah mereka mengimpikan ikatan dua jiwa itu dikukuhkan dengan hidup bersama sebagai suami isteri.

Sudah memilih tarikh nikah, namun, semuanya bergantung pada masa dan jadualnya.

Namun begitu, pasangan itu sebenarnya menyelesaikan semua persiapan supaya dapat disatukan pada tahun ini.

“Kedua-dua keluarga setuju tarikh nikah diadakan pada 19 September ini. Bagaimanapun, semua itu bergantung pada rezeki. Kalau bukan tahun ini, majlis pernikahan akan diadakan selewat-lewatnya Februari tahun depan.

“Majlis tunang itu pun, jika bukan kerana keluarga yang banyak memberikan bantuan, ia mungkin tidak ber­langsung dengan lancar seperti yang diharapkan. Saya pula terlalu sibuk dengan komitmen kerja.

“Namun, saya harapkan segala urusan dan perancangan untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan. Saya sendiri berharap perkara baik ini dapat dipercepatkan,” katanya.

Nadia (kanan) dan Mu’izz semasa majlis pertunangan di Holiday Inn Glenmarie, Shah Alam. -Foto FAIZ ANUAR

Membawa status tunangan orang, Nadia mengakui ia adalah proses untuk memperbaiki kelemahan diri sebagai persiapan menjadi isteri yang terbaik untuk Mu’izz.

“Perkahwinan adalah perubahan besar dalam hidup kerana saya tidak lagi hanya fokus pada diri sendiri dan keluarga tetapi juga perlu menjaga makan minum suami. Selepas berkahwin, pastinya suami perlu diutamakan dan didahulukan dalam banyak perkara.

“Saya yakin, dengan ilmu agama dan kematangan dimiliki Mu’izz, dia mampu membimbing saya menjadi seorang isteri yang tidak hanya taat pada suami tetapi juga agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 5:00 AM