SUASANA Masjid Linwood, New Zealand ketika umat Islam menunaikan solat Maghrib.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KUALA LUMPUR: “Suasana berpuasa di Christchurch masih meriah seperti sebelum ini walaupun tidak dinafikan peristiwa tragis yang mengorbankan puluhan nyawa berlaku Mac lalu terus diingati rakyat New Zealand,” kata Tahfiz Taffazani Ahmad Zamri, 27.

Tahfiz antara warga Malaysia yang menetap di bandar berkenaan mengakui tetap berasa sebak ketika berbuka puasa dan menunaikan solat fardu dan Tarawih di Masjid Al Noor dan Linwood apabila mengenangkan peristiwa berdarah yang mengorbankan 51 nyawa, 15 Mac lalu.

Katanya, ketika berbuka puasa, keadaan di ruang solat Masjid Al Noor dan Linwood sudah dibaik pulih daripada kesan darah akibat tembakan yang dilepaskan lelaki bersenjata api ketika umat Islam mahu menunaikan solat Jumaat.

“Saya dan jemaah lain terasa sayu bila mengenangkan peristiwa berdarah itu kerana tahu lokasi kami berbuka puasa dan menunaikan solat adalah tempat mangsa rebah sebelum menghembuskan nafas terakhir.

“Karpet sudah ditukar manakala dinding ruang solat juga dicat semula pihak pengurusan masjid kerana sebelum ini terdapat percikan darah mangsa yang tidak berdosa itu ditembak,” katanya yang sudah menetap 10 tahun di negara berkenaan.

Tahfiz yang juga pembangun perisian berkata, sepanjang tiga hari berpuasa, masyarakat Islam di Christchurch bersama-sama membantu menyediakan juadah berbuka di dua masjid utama di bandar berkenaan selain musolla di universiti tempatan.

Katanya, nasi Arab, kari ayam serta roti nan antara menu utama yang sering dihidangkan kepada umat Islam untuk berbuka puasa dan juadah ini kebanyakannya disediakan masyarakat Arab.

“Kami umpama keluarga kerana berkumpul di masjid setiap kali berbuka puasa dengan pelbagai menu yang disediakan masyarakat Arab sehingga boleh dibungkus untuk bersahur.

SUASANA umat Islam berbuka puasa di Masjid Linwood, New Zealand.

“Amalan bersedekah juga masih dilaksanakan umat Islam di sini (Christchurch) setiap kali Ramadan kerana itu antara aktiviti yang dapat mengeratkan silaturahim,” katanya yang menetap bersama isteri, Siti Sakinah Abdul Karim, 27.

Menurutnya, bagi memastikan keselamatan umat Islam menunaikan solat, kerajaan New Zealand masih menempatkan anggota polis di semua masjid untuk membuat pemantauan.

Katanya, lebih unik, umat Islam juga turut menjemput anggota polis bertugas makan bersama ketika berbuka puasa sebagai tanda menghargai khidmat mereka menjaga keselamatan.

“Insiden berdarah itu sudah pasti kekal menjadi memori kepada New Zealand khususnya masyarakat Islam di Christchurch namun ia tidak sedikit pun menjejaskan keamanan dan keharmonian yang dinikmati sebelum ini.

“Masyarakat di Christchurch meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun pernah berdepan dengan insiden meragut puluhan nyawa dan berharap ia tidak kembali berulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 6:00 AM