Gambar fail
Iskandar Shah Mohamed

KEAHLIAN Darjah Kebesaran Selangor kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor digantung berkuat kuasa Isnin lalu.

Ia turut membabitkan darjah kebesaran kepada bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn Bhd, Zulkifli Sharif yang ditarik semula dan dibatalkan.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Yahya berkata, perkara itu diputuskan bagi menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan rundingan dengan Dewan di-Raja Selangor.

“Datuk Seri Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ pada 1992.

“Beliau sudah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan membabitkan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

“Justeru, keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran itu digantung sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) selesai di mahkamah. Ia akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kata Mohd Amin yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Negeri Selangor, penggantungan turut membabitkan Rosmah yang dikurniakan S.P.M.S. Kelas Pertama dengan membawa gelaran Datin Paduka Seri pada 2005.

“Beliau sudah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan kes rasuah, penggubahan wang haram dan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Keahlian beliau sebagai penyandang darjah kebesaran itu juga digantung sehingga kes perbicaraan dan rayuan selesai di mahkamah,” katanya.

Mohd Amin berkata, Zulkifli pula dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’-Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) yang membawa gelaran Dato’ pada 2010.

“Beliau sudah diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia dan darjah kebesaran itu ditarik balik dan dibatalkan kerana tidak layak dan sesuai memegang darjah berkenaan,” katanya.

Penggantungan itu selaras dengan kuasa Sultan Sharafuddin di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 4:19 PM