GAMBAR Hiasan.
GAMBAR Hiasan.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: “Jangan jadi seperti saya yang dijatuhkan muflis sebab elak bayar cukai.” Itu kata bekas pemain bola sepak kebangsaan era 90-an yang kini hidup tertekan akibat kesilapan lalu cuba mengelak membayar cukai pendapatan ketika aktif beraksi di Liga Malaysia (Liga M).

Dia yang pernah mengecapi zaman gemilang termasuk memenangi kejuaraan Piala Malaysia mengakui pernah melakukan kesilapan itu apabila gagal mengisytiharkan pendapatan sebenar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Menyesal memang menyesal. Kalau boleh diputarkan masa, saya tidak mahu melakukan kesalahan itu kerana kesan jangka panjangnya amat dahsyat sekali.

“Bayangkan bila kita dah diisytiharkan bankrap oleh mahkamah, semua duit dan harta hilang dirampas oleh pihak berkuasa. Malah, saya juga tak boleh bekerja hingga ia menjejaskan kehidupan saya sampai sekarang.

“Paling sedih, saya pernah dipanggil untuk menjadi tetamu bual bicara bola sepak, tetapi terpaksa menunggu bayaran cukup lama kerana masalah status bankrap yang menyebabkan wang tak boleh dikreditkan ke akaun bank,” katanya kepada Arena Metro.

Laporan eksklusif akhbar ini semalam melaporkan, fenomena tipu cukai dalam kalangan pemain bola sepak bukan sekadar membabitkan pemain bertaraf dunia, malah perkara sama turut berlaku di Liga Malaysia (Liga M), sekali gus mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan juta ringgit setahun.

Difahamkan, beberapa pasukan liga tempatan khususnya yang beraksi di Liga Super, sering menyembunyikan status sebenar gaji pemain apabila hanya mendaftarkan separuh saja daripada hasil pendapatan kepada LHDN,

Menurut sumber LHDN, kebanyakan pasukan dan pemain berkomplot untuk cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengemukakan satu kontrak gaji sebagai bukti pendapatan pemain.

Namun, selepas semakan dan risikan yang dijalankan, terdapat banyak keraguan terutama mengenai gaya hidup pemain yang dilihat terlalu mewah hasil pendapatan sampingan yang tidak diisytiharkan kepada LHDN.

Sehubungan itu, bekas pemain kebangsaan itu menasihatkan pemain zaman sekarang supaya berhati-hati dan ikut prosedur ditetapkan pihak berkuasa.

“Paling utama, buang sikap tamak kerana ia boleh memakan diri dan merugikan,” katanya.

Antara risiko bakal dihadapi pemain yang cuba menyembunyikan maklumat pendapatan, mereka boleh disabitkan mengikut Seksyen 113 (1) (a) ACP 1967 yang boleh dikenakan denda RM1,000 hingga RM10,000 dan 200 peratus atas cukai terkurang lapor.

Malah, persatuan negeri (FA) dan kelab yang menguruskan dokumen mereka turut berdepan hukuman mengikut Seksyen 114 (1A) atau 114 (1) kerana membantu atau menasihatkan orang dalam penyediaan borang nyata cukai pendapatan hingga terkurangnya cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 5:31 AM