Norizuan Shamsuddin


TINDAKAN sekumpulan remaja membuli lelaki berusia 50-an yang mempunyai masalah lembam dan mental membawa padah apabila mereka ditangkap penduduk di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, awal pagi hari ini.

Difahamkan kejadian berlaku selepas lima remaja terbabit menjatuhkan motosikal milik mangsa dan turut melakukan perbuatan kurang ajar terhadap lelaki terbabit.

Malah, mereka turut merakam video perbuatan terbabit sebelum didapati tular di media sosial, semalam.

Susulan kejadian, penduduk bersama ahli keluarga mangsa mencari semua remaja terbabit di kediaman mereka berikutan tidak puas hati dengan tindakan kurang ajar kumpulan terbabit.

Lima remaja lelaki terbabit ditangkap penduduk kampung di kediaman mereka di kampung berkenaan pada 2.30 pagi.

Bagaimanapun, hasil perbincangan dan rundingan dilakukan dengan keluarga remaja terbabit perkara terbabit berjaya diselesaikan di peringkat penduduk kampung berkenaan tanpa membabitkan pihak berkuasa.

Difahamkan lima remaja terbabit turut memohon maaf dengan perbuatan dilakukan terhadap mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langat, Superintendan Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian terbabit.

Katanya, perbuatan lima remaja terbabit menimbulkan rasa tidak puas hati dan marah dalam kalangan penduduk dan waris mangsa.

RAKAMAN video menunjukkan seorang remaja cuba meletakkan sesuatu di atas kepala mangsa yang berada di atas motosikal.
RAKAMAN video menunjukkan seorang remaja cuba meletakkan sesuatu di atas kepala mangsa yang berada di atas motosikal.

“Siasatan mendapati waris mangsa dan penduduk sudah pergi ke rumah semua remaja terbabit yang dikenalpasti dalam video tular itu.

“Kejadian diselesaikan di peringkat penduduk kampung terbabit tanpa sebarang insiden selepas mereka berbincang dengan ahli keluarga remaja berkenaan.

“Difahamkan motif kumpulan remaja terbabit melakukan perbuatan itu adalah untuk bergurau, namun tingkah laku mereka agak keterlaluan terhadap orang tua," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian berikutan kes itu sudah diselesaikan.

“Kita nasihatkan supaya perkara ini tidak dipanjangkan kerana kedua-dua pihak sudah menyelesaikan kes ini.

“Bagaimanapun, sekiranya laporan polis di buat selepas ini kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 3:09 PM