Mohd Sabran Md Sani


PENAMPILAN berkopiah, memegang tasbih sambil mengusung tin tertera tabung masjid namun mereka ini tidak mampu mengucap dua kalimah syahadah.

Itu antara taktik popular warga asing Thailand yang gemar menyamar sebagai orang Islam untuk meraih simpati orang ramai termasuk ketika Ramadan.

Difahamkan pengemis nomad ini akan cuba meniru penampilan masyarakat Islam tempatan serta meraih simpati masyarakat yang suka menderma terutama ketika bulan mulia ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Rosnah Sardi berkata, taktik itu bagaimanapun terbongkar apabila mereka gagal mengucap dua kalimah syahadah sebaik ditahan.

“Mungkin wajah mereka seakan-akan orang Melayu atau Islam. Namun pegawai JKM mempunyai keupayaan mengesan taktik golongan ini yang mengeksploitasi agama Islam kononnya bagi mendapatkan derma tahfiz atau masjid di Narathiwat Thailand,” katanya.

Menurutnya, bandar raya Johor Bahru terus menjadi tumpuan pengemis nomad warga asing yang muncul beramai-ramai terutama ketika Ramadan.

“Kemunculan pengemis warga asing membabitkan warga Indonesia dan Thailand ini ada kaitan dengan faktor derma lumayan diperoleh antara RM100 hingga RM200 sehari.

“Senario kebanjiran pengemis ini juga dipengaruhi keadaan bandar raya Kuala Lumpur yang padat ketika ini menyebabkan pengemis import ini berhijrah ke selatan tanah air.

“Antara tumpuan golongan ini membabitkan bazar Ramadan, pasar malam di sekitar bandar ini, pusat beli belah dan masjid berikutan lokasi strategik ini sering dikunjungi termasuk warga Singapura yang datang berbelanja,” katanya.

Menurutnya, kegiatan pengemis di bandar raya ini tidak pernah menemui titik noktah sebaliknya terus dibanjiri golongan itu yang berstatus pengemis kaya.

Buktinya statistik pengemis diselamatkan di negeri ini memperlihatkan angka besar berdasarkan jumlah operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi dilaksanakan setiap masa.

“Kami melaksanakan operasi berjadual atau serbuan mengejut sebaik menerima aduan orang ramai yang terlihat aktiviti berkenaan.

“Pada 2016 saja, sebanyak 230 kes pengemis diselamatkan membabitkan 366 operasi. Pada tahun 2017 pula, ia mencatatkan 220 kes dengan bilangan operasi secara bersepadu sebanyak 210,” katanya.

Rosnah berkata, bagi tahun 2018, lebih 200 pengemis diselamatkan membabitkan operasi bersepadu bersama agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pejabat agama.

Menurutnya, mengambil kira pandangan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), pihaknya tidak akan mengejar pihak berkenaan sekiranya melarikan diri.

“Namun mereka yang diselamatkan akan melalui prosedur operasi standard (SOP) termasuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan golongan diselamatkan itu ditempatkan di institusi JKM bagi menjalankan siasatan selama 30 hari.

“Kami juga bergantung kepada keputusan hakim sama ada memerintahkan untuk penjagaan golongan diselamatkan itu, memulangkan kepada keluarga atau ditempatkan di institusi pemulihan,” katanya.


PENGEMIS warga asing yang mengambil kesempatan meminta sedekah di beberapa lokasi bazar Ramadan di Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 6:15 AM