Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


“Arwah seorang yang sangat baik, malah kebaikannya turut diakui oleh rakan sekerjanya.”

Kata Ali Azizan Mohd Salleh, 40-an, sepupu kepada Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang ditemui meninggal dunia di rumah sewanya di Cyberjaya, kelmarin.

Terdahulu, Siti Kharina dilaporkan hilang sejak 8 Mei lalu selepas kali terakhir dilihat di kawasan tempat letak kereta di hospital berkenaan.

Ali Azizan berkata, dia mengetahui kejadian menimpa Siti Kharina selepas menerima mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga mereka berhubung perkara itu, semalam.

“Saya dapat tahu mengenai penemuannya melalui perkongsian mesej dalam kumpulan WhatsApp sebelum bergegas ke hospital ini.

“Kali terakhir saya bertemunya ketika majlis perkahwinan saudara November tahun lalu. Dia (Siti Khairina) seorang yang sangat baik.

“Kebaikannya turut dirasai rakan sekerjanya yang bertugas sebagai jururawat di hospital ini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang di sini, semalam.


RAKAN sekerja Siti Kharina di pekarangan Unit Forensik Hospital Serdang, semalam.

Katanya, jenazah Siti Kharina dibawa ke Kampung Tengah, Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk pengebumian.

Sementara itu, rakan sekerja Siti Kharina yang enggan dikenali memaklumkan dia mengetahui mengenai kejadian menimpa mangsa, semalam.

“Saya terkejut sebaik dimaklumkan rakan sekerja lain mengenai perkara itu (kematian Siti Khairina). Saya mengenalinya sejak dia mula bertugas di wad perubatan di hospital ini, lima tahun lalu.

“Sepanjang perkenalan kami, dia seorang yang baik dan periang menyebabkan dia disukai rakan sekerja,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi tempat tinggal Siti Khairina, jururawat itu memaklumkan tidak mengetahui perkara rumah sewa mangsa.

“Kebanyakan masa, kami berjumpa ketika waktu bertugas saja. Mengenai lokasi tempat tinggalnya (di luar hospital), saya tidak tahu,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan mayat Siti Kharina ditemui dengan kesan kelar di bahagian dada dan leher di rumah sewanya di sebuah kondominium di Cyberjaya, petang kelmarin.


MAJLIS pengebumian Siti Kharina di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. -Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

Berita berkaitan

Jenazah Siti Kharina selamat dikebumi

Usah buat spekulasi pembunuhan jururawat

'Kami mahukan keadilan buat Siti Kharina'

Suspek kes bunuh jururawat ditahan

'Lelaki Nigeria diburu kes bunuh Siti Kharina [METROTV]'

'Siti Kharina dibunuh?'

'Henti sebar maklumat palsu kakak saya'

Masih tiada khabar dari Siti Kharina

'Bantu kami kesan kakak'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 6:15 AM