JENAZAH Allahyarham Faziani tiba di Kampung Paloh. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my


PENGASAS produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad sempat menjemput pelajar Madrasah Ahbabulmustafa Al Islamiah, Kampung Menjual, Tumpat untuk mengaji di kediamannya selama 40 hari bermula hari ini.

Setiausaha Sulit mudir madrasah berkenaan, Al Fatas Yasmi berkata, selain mengimarahkan Ramadan, ia juga sebagai tahlil untuk arwah bapanya yang sudah meninggal dunia pada Ramadan lebih 15 tahun lalu.

“Arwah menjemput seramai 30 pelajar dari madrasah ini untuk mengaji di rumahnya selama 40 hari bermula hari ini di samping mengadakan majlis tahlil.

“Rupa-rupanya tahlil ini nanti bukan sahaja untuk bapanya yang meninggal di Ramadan lama dahulu, tapi dirinya sendiri (Faziani),” katanya ketika ditemui di rumah arwah di Kampung Paloh, hari ini.


ANAK Faziani. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Al Fatas berkata, sudah empat tahun pengasas kosmetik itu memberi sumbangan kepada madrasahnya dalam bentuk makanan, keperluan serta kewangan.

Katanya, Faziani dilihat agak kelam kabut menyelesaikan urusan sedekah membabitkan beberapa pondok seperti sudah dapat mengagak ajalnya bakal tiba.

“Saya ada berbual dengan pembantu arwah yang memberitahu Faziani ingin mempercepatkan segala urusan sedekahnya kepada semua badan kebajikan, pondok dan individu.

“Beberapa hari kebelakangan ini arwah dilihat berkelakuan agak pelik dari biasa di mana ingin selesaikan segala urusan sedekah dan infaq sekali gus.

“Kami memang sangat terkejut dengan musibah yang melanda beliau, bagaimanapun pemergiannya adalah pada bulan yang baik,” katanya.

Jenazah Fauzani yang bertolak dari Hospital Pattani, Thailand tiba di kediamannya pada 6 petang diiringi suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, dengan menaiki van jenazah.

Jenazahnya akan dimandi dan disolat jenazah di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit di sini malam ini.

Berita berkaitan:

  • Faziani dirindui artis
  • 'Ampunkan mami saya jika ada salah silap'
  • Pemergian Faziani kehilangan besar dunia perniagaan
  • ‘Mama pesan... jangan berebut harta’
  • Pengasas Dnars maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 9:14 PM