AHMAD Shah Rizal menyiram kubur arwah Faziani. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


TAZKIRAH ringkas disampaikan mudir madrasah selepas pengebumian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad mengundang sebak di hati semua yang hadir.

Tazkirah kira-kira lima minit oleh Mudir Madrasah Darul Saadah Al Islamiyah, Kampung Lebu, Bentong, Pahang, Zahari Al Yamani itu turut menyamakan sifat dermawan arwah Faziani, 40, persis isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah yang menginfaqkan hartanya ke jalan Allah sebelum dijemput Ilahi.

Dalam ucapan didengari lebih 500 yang hadir, Zahari berkata, dia ditanyakan oleh Faziani kira-kira dua minggu lalu sebelum arwah ke Makkah menunaikan umrah, iaitu bagaimana caranya untuk dia manfaatkan hidupnya sepanjang Ramadan.

“Saya hanya menjawab supaya dia meneruskan dengan apa yang sudah dilakukannya selama ini iaitu bersedekah dan terus istiqamah.

“Arwah banyak menginfaqkan hartanya ke jalan Allah sepanjang hayatnya. Banyak yang disumbangkan kepada madrasah dan pondok, termasuk madrasah saya di Bentong, Pahang.

“Amal yang dilakukan oleh arwah boleh disamakan seperti Siti Khadijah yang mana sebelum meninggal (dunia), menghabiskan hartanya ke jalan Allah,” katanya selepas bacaan talkin dan doa sebaik pengebumian dijalankan.


JENAZAH Allahyarham Faziani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit Luar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Jenazah Faziani selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedemit pada 10.20 malam tadi.

Arwah disemadikan bersebelahan kubur arwah bapanya, Rahban Ahmad Syamsir Ahmad yang meninggal dunia pada April 2010.

Ketika pengebumian berlangsung, anak perempuannya, Irdina Hakim Jasman, 16, yang turut hadir di tanah perkuburan pengsan disebabkan terlalu sebak.

Sementara itu, suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, berkata tiada perubahan dikesan dalam tingkah laku arwah, namun arwah ada bertanya satu soalan ketika mereka menunaikan ibadat umrah di Makkah minggu lalu.

“Dia bertanya boleh tak bayangkan jika selepas ini saya menunaikan umrah seorang diri?

“Saya tidak terdetik sesuatu yang pelik dan menganggap ia hanya soalan biasa sahaja tanpa mengetahui ia adalah satu tanda dia akan betul-betul meninggalkan kami,” katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi waktu tempatan di Pattani, Thailand, suami isteri itu menuju ke beberapa pondok agama di sana sebelum terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Kemalangan itu menyebabkan Faziani meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Ahmad Shah Rizal hanya mengalami luka di bahagian kanan mata.

Berita berkaitan:

  • Tahlil buat diri sendiri
  • Faziani dirindui artis
  • 'Ampunkan mami saya jika ada salah silap'
  • Pemergian Faziani kehilangan besar dunia perniagaan
  • ‘Mama pesan... jangan berebut harta’
  • Pengasas Dnars maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 12:02 AM