Nor ‘Asyikin Mat Hayin

MANSUH atau tidak program matrikulasi, itu persoalannya. Ramai bijak pandai Bumiputera berjaya dilahirkan menerusi program ini yang diperkenalkan sejak 1998.

Penyediaan kuota 90 peratus pelajar Bumiputera dan 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera turut menggalakkan pelajar Bumiputera melanjutkan pengajian khasnya dalam bidang sains.

Bagaimanapun, ada cadangan supaya program matrikulasi dimansuhkan kerana kononnya sudah tidak relevan.

Ikuti temu bual wartawan Metro Ahad, Nor ‘Asyikin Mat Hayin dan juruvideo, Saiful Iskandar Ismail bersama Pengarah Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (Pasum), Prof Datuk Dr Mohd Jamil Maah bagi mendapatkan pandangannya berhubung isu ini.

DR Mohd Jamil Maah. FOTO Salhani Ibrahim

Program matrikulasi dikatakan sudah tidak relevan. Apa pendapat Prof?

Program matrikulasi sebenarnya masih relevan dan penting kerana setakat ini, ia sudah ‘membekalkan’ ramai pelajar Bumiputera ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Berdasarkan data Universiti Malaya, kira-kira 25 peratus pengambilan penuntut ke peringkat ijazah sarjana muda adalah daripada lulusan program matrikulasi berbanding lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) iaitu 34 peratus.

Kita tidak mempunyai penuntut Bumiputera lulusan STPM aliran sains dan ditambah pula bilangan penuntut (Bumiputera) yang mengambil aliran sains tulen juga berkurangan.

Negara pula ke arah revolusi industri 4.0, bagaimana mahu mencapai matlamat ini sekiranya program matrikulasi dihapuskan?

Oleh itu, kita perlu melatih pelajar (Bumiputera) menerusi program matrikulasi yang mana mereka diberikan latihan secara intensif sepanjang mengikuti program berkaitan.

Di matrikulasi, segala kemudahan yang disediakan serba lengkap merangkumi bangunan, makmal, tenaga pengajar terlatih dan latihan intensif.

Selain itu, program matrikulasi menjadi platform meningkatkan kebolehupayaan mereka dan sebagai persediaan sebelum memasuki universiti.

Apakah kesan jika program matrikulasi dihapuskan?

Antara kesan jika program matrikulasi dihapuskan adalah kita tidak akan dapat ‘membekalkan’ secukupnya pelajar Bumiputera ke IPTA.

Tambahan pula, ketika ini, banyak IPTA berasaskan teknikal, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Tetapi pada masa sama, kita memerlukan ramai pelajar berasaskan aliran sains tulen.

Sekiranya program matrikulasi dihapuskan, modul peperiksaan STPM perlu disemak dengan teliti, ditambah baik kelemahan sedia ada.

Ini kerana kita mahu memastikan pelajar yang masuk ke universiti benar-benar layak.

Jika tidak, kelak pelajar ini tidak mempunyai asas sains yang bagus, tanpa pendedahan di makmal, kemahiran dan lemah matematik.

Sebenarnya kita banyak melakukan ratifikasi dalam matrikulasi.

 

Program matrikulasi juga sering dilabelkan ‘laluan mudah’ pelajar Bumiputera untuk memasuki universiti tempatan. Pendapat Prof?

Ini tidak benar kerana silibus program matrikulasi dikawal dan mematuhi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pelajar akan dinilai secara intensif sama ada pada peperiksaan akhir, tutorial, kuiz dan amali. Mereka perlu lulus kesemua ujian ini.

Peperiksaan akhir program matrikulasi juga adalah peperiksaan awam iaitu sama seperti STPM.

Ini kerana dalam program matrikulasi, penggubal soalan, penanda dan pensyarah adalah orang yang berbeza.

Cuma pelajar program matrikulasi belajar dalam kawalan dan mereka diberikan sokongan supaya mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya.

 

Adakah ‘laluan mudah’ ini menyebabkan kualiti pelajar tidak setanding STPM?

Ini persepsi umum dan hakikatnya, kualiti pelajar program matrikulasi adalah setanding lepasan STPM.

Berdasarkan rekod data Universiti Malaya, 25 peratus pelajar cemerlang adalah lepasan STPM manakala pelajar program matrikulasi pula 20 peratus.

Tahap kecemerlangan mereka hampir sama. Sekiranya kita mahu menyamai prestasi kecemerlangan ini, perlulah dikembalikan semula tempoh pengajian program matrikulasi kepada yang asal iaitu dua tahun.

Kelebihannya, pelajar program matrikulasi lebih berkualiti kerana mempunyai asas sains yang lebih kukuh.

Sebenarnya, program matrikulasi direka atau distruktur berdasarkan kegagalan anak Melayu dalam bidang sains di peringkat STPM.

Bagaimanapun, dalam program matrikulasi, pelajar diajar oleh pensyarah terlatih, perlu mengikuti tutorial, menjalani latihan praktikal, kerja kursus, kuiz dan peperiksaan.

Sebaliknya, semua ini tidak dilalui pelajar STPM.

 

Adakah benar tujuan asal mewujudkan program matrikulasi bagi mengimbang agihan kaum di universiti sudah mencapai matlamat?

Belum. Sebab itu kita masih memerlukan program matrikulasi kerana bilangan pelajar Bumiputera yang mengambil bidang sains tulen pada masa ini berkurangan dan tidak mencukupi untuk mengisi peluang belajar (fakulti-fakulti berasaskan STEM) di IPTA.

Pada 1970-an, tiga daripada lima kelas tingkatan 4 dan 5 di sekolah adalah aliran sains tulen manakala dua kelas lagi adalah aliran sains sosial atau sastera.

  

Jika program matrikulasi dihapuskan, adakah kerajaan perlu mewujudkan alternatif lain untuk membantu pelajar Bumiputera mendapat tempat di IPTA?

Tidak ada halangan jika mahu memansuhkan program matrikulasi tetapi sebelum dimansuhkan, kerajaan perlu menyediakan alternatifnya dengan memantapkan silibus peperiksaan STPM.

Saya ada beri cadangan supaya wujudkan Kolej Tingkatan Enam yang dilengkapi kemudahan termasuk makmal yang setanding dengan kolej matrikulasi.

Tapi kena pastikan Kolej Tingkatan Enam itu dibuka di semua daerah di negara ini bagi memudahkan ramai pelajar mendapatkan manfaatnya.

Namun, saya juga bimbang mengenai nasib 17 pusat matrikulasi sedia ada di negara ini termasuk tenaga pengajar jika program matrikulasi benar-benar dihapuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 7:30 AM