ANA bersama dua anaknya setiap hari ke kawasan gelandangan di ibu kota semata-mata bagi menantikan bantuan daripada orang ramai. FOTO NSTP
Mohamad Fahd Rahmat

MENUNGGANG motosikal bersama dua anak berusia dua dan lima tahun setiap hari ke kawasan gelandangan di ibu kota semata-mata bagi menantikan bantuan termasuk susu dan lampin pakai buang.

Anak sulung pula tinggal di rumah kerana masih belajar.

Itu rutin seorang ibu muda yang mahu dikenali sebagai Ana (bukan nama sebenar), 30, bagi menanggung kehidupannya empat beranak selepas suami yang juga hamba dadah bersikap lepas tangan sejak tiga tahun lalu.

Ana berkata, setiap hari, kecuali Isnin dan Rabu, dia menghabiskan masa menunggu bantuan bermula daripada lewat petang hingga ke awal pagi di Jalan Hang Lekiu dan kawasan sekitar.

“Mujur saya ada tempat berlindung di rumah ayah di Puchong dan anak tidak menjadi gelandangan tidur di kaki lima. Saya hanya ke lokasi tumpuan gelandangan untuk menunggu bantuan.

“Selepas menerima bantuan, ada kalanya pada awal pagi, saya akan pulang ke rumah bersama anak dengan menunggang motosikal.

“Kena ketepikan rasa malu kerana jika tidak, anak tiada bekalan lampin pakai buang dan susu. Jika bernasib baik, ada yang menyumbang wang kerana kasihankan kami,” katanya.

Ana berkata, sebelum ini hidupnya stabil, namun berubah selepas suami yang berusia 35 tahun mula bergaul dengan penagih dadah.

“Pada awal perkahwinan, suami yang bekerja sebagai mekanik cukup bertanggungjawab.

“Setakat hidup berpindah randah dari setahun ke setahun ke rumah atau bilik sewa berlainan, saya anggap ia asam garam hidup berumah tangga.

“Apabila suami mula malas bekerja, ayah saya menjadi tempat dia meminta wang dan yang paling menyakitkan hati, suami menuduh kami anak beranak yang menghabiskan wang itu,” katanya.

Menurut Ana, suaminya mula berperangai sedemikian selepas dua tahun kematian ibunya pada 2014.

Ana berkata, dia tidak tahu di mana suaminya berada ketika ini. Pada masa sama, lelaki terbabit enggan menceraikannya, selain tidak memberi sebarang nafkah buat anak mereka.


GOLONGAN gelandangan menunggu bantuan disampaikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta di Jalan Hang Lekiu, Kuala Lumpur. FOTO NSTP

“Apabila saya telefon dan tanya suami tinggal di mana, dia enggan maklumkan. Kali terakhir kami berjumpa ialah pada September lalu. Itupun selepas kami empat beranak terpaksa keluar dari rumah sewa di Batu Caves kerana gagal melunaskan sewa.

“Sewa rumah tertunggak dua bulan, pemilik pula tak tahu keadaan saya dan ketika kami diminta keluar, saya berseorangan bawa keluar bawa barang dari rumah itu,” katanya.

Menurut Ana, dia dan suami pernah mengikuti sesi kaunseling di Masjid Negara pada 2015, namun keadaan lelaki terbabit semakin teruk.

“Ketika itu, suami tidak bekerja malah dia juga tidak beri kebenaran untuk saya bekerja, pada masa sama, dia turut enggan menceraikan saya,” katanya.

Ana yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, bantuan Baitulmal yang diterima sejak setahun lalu juga terhenti selepas suaminya buat endah tidak endah dengan agensi berkenaan.

“Bantuan Baitulmal sudah setahun dapat tapi suami belum memperbaharuinya lagi dan sikapnya itu menyebabkan bantuan itu dihentikan,” katanya.

Menurut Ana, dia sudah memohon bantuan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun diberitahu supaya membuat akaun bersumpah menyatakan dia tinggal dengan ayahnya sebelum permohonan itu boleh diproses.

Ana berkata, dia buntu dengan masalah yang menimpa dan malu apabila terpaksa menagih ihsan bapanya untuk menguruskan kehidupannya anak beranak.

“Paling susah sangat sebab anak sulung masih sekolah manakala dua lagi yang berusia lima dan dua tahun masih kecil pakai lampin pakai buang ditambah pula si bongsu yang kuat menyusu.

“Saya juga mengharapkan bantuan susu tepung di Chow Kit namun ia cukup untuk sehari dua, selepas itu tiadalah. Saya tidak mahu guna duit ayah 100 peratus kerana dia baru berhenti bekerja sebagai pemandu teksi.

“Hidup sekarang ini memang rasa tak seronok dan kalau bercerai, senang saya mahu mohon bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 8:02 AM