Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


TIGA maut manakala 11 yang lain cedera termasuk tujuh parah selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X -Trail dinaiki terbabas di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, Bagan Serai hari ini.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, tiga maut dipercayai warga Myanmar manakala yang cedera termasuk parah juga adalah warga asing.

Difahamkan, identiti semua mangsa yang maut sedang dikenalpasti.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.36 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, anggota yang tiba kemudiannya melakukan kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Maklumat awal tiga maut dalam kejadian itu dan semuanya termasuk yang cedera serta parah adalah warga asing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2019 @ 10:16 AM
Kenderaan SUV yang terbabas berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Merah yang menyebabkan tiga warga asing maut (gambar kecil). FOTO Ihsan Bomba