Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


“WALAUPUN hanya diberi empat bulan untuk menjaganya, saya tetap bersyukur. Dia anak syurga dan Allah SWT akan menjaganya dengan baik di sana,” kata Syahirah Mhd Ali,31, ibu kepada Dayangku Nuralya Maryam Awangku Hazrin, empat bulan, yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas di taska di Kuala Terengganu, hari ini.

Anak bongsu daripada dua beradik itu ditemui dalam keadaan tertiarap, badan kebiruan serta tidak sedarkan diri kira-kira jam 10 pagi oleh petugas taska sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia ketika dirawat di HSNZ kira-kira 11.30 pagi tadi.

Menurut Syahirah, dia bergegas ke taska berkenaan selepas dimaklumkan kejadian menimpa anak bongsunya sebelum mendapati anaknya itu berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya.

“Saya dan suami, Awangku Hazrin Awangku Hidup, 34, tidak menyalahkan pihak taska atau mana-mana pihak dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Ilahi.

“Sebenarnya, arwah yang dilahirkan pada 13 Januari lalu baru belajar meniarap.

“Malah, saya difahamkan arwah sedang tidur ketika ditinggalkan guru taska yang menjaganya dan mungkin dia cuba meniarap ketika ditinggalkan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNZ, hari ini.


DAYANGKU Nuralya Maryam Awangku Hazrin. FOTO Rozainah Zakaria

Dia yang juga penjawat awam berkata, dia bersama suami menerima kejadian yang berlaku sebagai ujian buat mereka sekeluarga lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini.

“Memang berat dan sedih dengan kehilangan ini apatah lagi hari ini hari lahir suami yang ke-34 tahun tetapi semuanya sudah ketentuan Ilahi.

“Apa yang berlaku sudah tertulis dan arwah akan tunggu kami di syurga nanti,” katanya.

Dayangku Nuralya Maryam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu.

Selain arwah, pasangan itu turut mempunyai seorang lagi anak perempuan, Dayangku Nur Hawa Marisa, 2.

Sementara itu,Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2019 @ 5:52 PM