MUSLAILI (kiri) bersama Haslina ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru.
Roselan Ab Malek


TEMERLOH: “Akibat tertekan, saya pernah mengalami keguguran kerana kesukaran menguruskan abang dan kakak,” kata Haslina Musa, 35, yang terpaksa menjaga empat abang dan dua kakaknya yang mengalami masalah mental di rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka di Kampung Baru di sini.

Tugas menguruskan abang dan kakaknya, Mustafa, 54, Mustajudin, 53, Musnani, 45, Musalmah, 43, Muzlan, 42, dan Mohd Muslim, 41, dipikul Haslina bersama kakaknya, Muslaili, 36, selepas kematian ibu mereka, Halijah Mat Bakar pada 2013 dan bapa, Musa Singah pada 2017.

Enam beradik terbabit dilahirkan normal, tetapi mengalami masalah mental ketika mula meningkat dewasa tanpa diketahui sebab sebenarnya.

Mengakui sukar menguruskan enam beradik orang kelainan upaya (OKU) itu kerana ada antara mereka terlalu agresif menyebabkan dia mengalami keguguran dua kali pada tahun lalu dan April lalu kerana terlalu tertekan.

“Selama ini, arwah ayah dan ibu yang menjaga mereka, tetapi selepas kematian ibu dan ayah, tugas itu dipikul kami dua beradik kerana berpegang kepada pesanan ayah, biar kami susah di sini kerana di sana (akhirat) kami akan senang,” katanya.

Kepayahan mereka dua beradik sedikit ringan dengan adanya bantuan suami Haslina, Ahmad Rizuan Jamin, 31, yang memahami kesulitan dihadapi serta turut menjaga abang dan kakak iparnya itu.

Bagaimanapun, pendapatan Ahmad Rizuan yang bekerja di bengkel kimpalan dengan gaji RM55 sehari tidak cukup menampung perbelanjaan mereka sekeluarga, apatah lagi bagi menanggung persekolahan anak perempuan mereka yang berusia 13 tahun.

Haslina berkata, Muslaili pula juga seorang ibu tunggal turut tinggal bersamanya bagi menguruskan abang dan kakak.

“Ada antara mereka yang agresif dan bergantung kepada ubat bagi menenangkan mereka. Keluarga turut terkesan dengan cakap-cakap masyarakat sekeliling,” katanya.

Katanya, empat adik-beradiknya itu menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk ubat-ubatan dan rawatan di hospital serta perbelanjaan harian mereka.

“Syukur suami banyak membantu menguruskan dan menghantar mereka ke hospital bila perlu. Saya berharap ada pihak menempatkan mereka di pusat jagaan khas supaya mereka dapat menerima rawatan lebih baik,” katanya.

Haslina turut mengharapkan sumbangan orang ramai bagi meringankan beban mereka memandangkan pendapatan suami dan kakaknya bekerja di sebuah restoran tidak cukup menampung mereka sekeluarga.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (06028024555191) atas nama Haslina.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 6:00 AM