Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


JEMAAH yang mahu menunaikan solat Isyak dan Tarawih dikejutkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membaling lapan botol arak di perkarangan Surau Al-Makmur Projek Perumahan Sri Pantai, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 8.30 malam itu, botol arak kosong dipercayai dicampak daripada tingkat atas bangunan blok penduduk, jatuh berderai di sekitar kawasan surau.

Seorang penduduk mahu dikenali Mohamed, 52, berkata, kejadian berlaku sewaktu dia berada di surau untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih.

“Ketika azan Isyak berkumandang kedengaran beberapa kali bunyi kuat seperti kaca yang jatuh di tepi surau terbabit.

“Susulan itu, beberapa penduduk keluar bagi melihat apa yang berlaku dan didapati terdapat botol arak yang pecah di sekitar surau yang terletak di blok 100.

“Malah, ada antara botol terbabit didapati mengenai motosikal penduduk sehingga menyebabkan kerosakan.

“Mujurlah, botol berkenaan tidak mengenai penduduk yang menggunakan laluan tepi surau itu.,” katanya ketika ditemui di PPR Sri Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Mohamed, pihaknya percaya botol terbabit dicampak oleh individu yang tidak bertanggungjawab dari tingkat atas bangunan blok surau berkenaan.

Dia yang sudah lebih 10 tahun tinggal di kawasan terbabit berkata, siasatan dilakukan oleh pihak surau dan penduduk mendapati terdapat lapan botol arak ditemui di sekitar perkarangan surau terbabit.

“Bagaimanapun, kami tidak dapat mengenai pasti botol terbabit dicampak dari tingkat berapa berikutan tiada saksi yang melihat dan sukar untuk dikenal pasti kerana blok terbabit juga mempunyai 21 tingkat.

“Kejadian bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini pernah berlaku beberapa kes campak barang termasuk sampah dari tingkat atas.

“Tapi kali ini agak melampau apabila mereka sanggup buang botol arak dekat surau sewaktu imam melaungkan azan.

“Kami tidak pasti sama ada pihak terbabit melakukannya secara sengaja atau sebaliknya, tapi harap dia dapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Bendahari Persatuan Penduduk PPR Sri Pantai, Mat Safri Nong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penduduk berhubung kes berkenaan.

Katanya, pihaknya bersama jawatankuasa surau sudah membuat laporan di Balai Polis Pantai, Brickfields, pada hari sama.

“Saya juga sedang bertemu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk menyalurkan maklumat berhubung kes ini.

“Kita menyerahkan kepada pihak berkuasa agar dapat melakukan siasatan dan berharap individu yang melakukan perkara terbabit dapat ditangkap serta dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Kejadian turut menjadi tular di media sosial sejak semalam apabila beberapa gambar berhubung kejadian dimuatnaik oleh beberapa penduduk menerusi Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 11:27 AM
SERPIHAN botol arak yang pecah selepas dicampak dari tingkat atas PPR Sri Pantai, Kuala Lumpur. FOTO NSTP