AIDIL terharu dengan kejutan itu dan turut menangis kegembiraan, selepas mengetahui Fasha kini mengandung. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin


PELAKON popular, Nur Fasha Sandha Hassan membuat kejutan buat suami tersayang juga aktor, Aidil Aziz selepas mengetahui dirinya kini sedang berbadan dua.

Fasha yang ditemui sewaktu menjalani sesi fotografi di Studio Pinography di Shah Alam, sempat merakamkan kejutan dilakukan buat suaminya yang turut dikongsi Aidil di laman sosialnya.

Aidil ternyata terharu dengan kejutan itu dan turut menangis kegembiraan, selepas mengetahui Fasha kini mengandung.

Fasha bagaimanapun berkata, kandungannya baru berusia tiga minggu dan belum berkesempatan bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, dia berasakan perubahan pada dirinya sudah mengandung apabila kebelakangan ini sering muntah.

Menurutnya, ketika itu dia terfikir mungkin tersalah makan, bagaimanapun kitaran haid lewat membuatkannya mengesyaki sedang berbadan dua.

“Perasaan semakin kuat mengatakan saya mengandung apabila pagi tadi berasa tidak sedap badan.

“Sebelum datang ke studio fotografi saya terus melakukan ujian menggunakan alat ujian kehamilan dan Alhamdulillah positif.

“Cuma, saya tidak mahu komen banyak sangat mengenai kehamilan ini kerana masih di peringkat awal. Apapun saya bersyukur kerana hajat Aidil untuk cepat dapat anak termakbul,” katanya.

Sebaik tiba di Studio Pinograpy, Fasha sempat meminta jurugambar merakam kejutan yang dilakukan.

Sementara itu Aidil berkata, dia bersyukur apabila menerima kejutan daripada Fasha.

“Saya sangat gembira, tetapi dalam waktu sama tidak mahu bercerita lanjut kerana usia kandungan masih baru. Selalunya perkara seperti ini dikongsi selepas usia kandungan berusia tiga bulan.

“Kepada peminat saya mengharapkan mereka mendoakan perkara yang baik supaya kandungan dan isteri sihat serta selamat sepanjang proses mengandung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:43 PM