AKUI memang ramai yang DM di Instagram cuba menagih cinta.
Ardini Sophia Sina


JEJAKA berusia 25 tahun ini menceburi arena seni sejak lima tahun lalu. Berkat usaha yang tidak pernah mengenal erti lelah, kanvas seni Adam Lee kebelakangan ini kian berseri dengan pelbagai karakter.

Memegang watak sebagai Badrul dalam drama Curi Curi Cinta, ramai penonton mula jatuh hati dengan Adam.

Karakter Badrul yang dianggap ‘sweet’ dan romantik oleh penonton membuatkan namanya kini menjadi sebutan dan dijangkakan menjadi bintang yang bakal bersinar terang.

Kata Adam, watak itu juga menyebabkan ramai wanita menghantar mesej di Instagram untuk ‘mencuri’ hatinya. Bagaimanapun, dia tidak terganggu dengan perkara itu dan menganggap ia sebagai kejayaan watak berkenaan.

“Ya, memang ramai yang DM di Instagram cuba menagih cinta. Kalau orang suka dengan Abang Bad itu maknanya saya berjaya lakonkan watak ini dengan baik. Alhamdulillah.

“Saya tidak ambil serius pun dengan mesej yang dihantar peminat. Saya anggap mereka sekadar meminati lakonan saya dan menyukai watak Badrul. Itu adalah maklum balas positif untuk teruskan karier lakonan,” katanya.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee menyepi seketika dari dunia hiburan. Ketika itu, dia kurang yakin dengan potensi bidang berkenaan.

ADAM membawa watak Abang Bad dalam drama Curi Curi Cinta.

Bagaimanapun, perasaan cinta mendalam terhadap kerjaya itu menjentik tangkai hatinya untuk kembali aktif beraksi depan kamera. Bahkan, Adam kini sudah mampu berdiri atas nama sendiri dan keluar daripada bayang-bayang sepupunya iaitu Janna Nick.

Kata Adam, berada pada tahap sekarang ini memerlukan masa serta usaha untuk memperbaiki diri. Ia bukanlah dicapai dalam masa singkat sebaliknya banyak onak duri terpaksa diredah.

“Saya sudah berlakon dalam pelbagai drama dan pegang banyak watak tetapi kurang menonjol.

“Mungkin untuk saya, ia mengambil masa yang agak lama untuk dikenali. Bagi saya, apabila orang bercakap mengenai watak lakonan saya, itu adalah satu kejayaan,” katanya yang pernah membintangi drama Sejuta Rasa Buat Adelia dan Lara Aishah.

Meminati Bront Palarae dan Datuk Farid Kamil, pelakon itu tidak ambil mudah tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan terhadapnya. Dia percaya, masih ada banyak ruang untuk meningkatkan potensi diri.

“Saya sedar, apabila watak itu menjadi sebutan ramai, mungkin pelakon akan terus dikenali dengan karakter itu sahaja. Bagaimanapun, ia akan menjadi cabaran buat saya untuk berusaha menonjolkan potensi diri.

BABAK Curi Curi Cinta.

“Saya tidak melihat perkara ini sebagai sesuatu yang kurang baik. Malahan, ia sebenarnya adalah peluang untuk terus membuktikan kualiti lakonan agar diingati penonton,” katanya.

Beralih perihal Ramadan, Adam berkata, dia kini terikat dengan penggambaran drama Putri Yang Ditukar yang mempunyai 100 episod adaptasi sinetron Indonesia.

Jadual penggambaran yang padat menyukarkan dirinya untuk solat Tarawih, namun akan melakukannya jika ada kelapangan.

“Ini bukan tahun pertama saya tidak dapat menunaikan Tarawih penuh sebab komitmen penggambaran. Meski sibuk, saya tetap akan ke masjid untuk menjalani ibadah itu jika tiada penggambaran.

“Mungkin pada masa akan datang, saya juga seperti selebriti lain yang ‘bercuti’ sepanjang Ramadan bagi membolehkan melakukan ibadan dengan tenang,” katanya.

Mengakui sedang mengenali seseorang yang turut bekerja dalam industri, Adam mohon agar peminat mendoakan yang terbaik agar hubungan itu dapat diteruskan ke fasa lebih serius.

“Saya memang sedang mengenali seseorang. Tidak banyak yang boleh saya katakan, cuma saya mohor agar semua peminat mendoakan yang baik-baik untuk hubungan kami.

“Saya percaya dengan ketentuan jodoh. Kalau benar ada jodoh antara kami, pasti akan bersatu juga suatu hari nanti,” katanya.

KARAKTER Abang Bad buat penonton jatuh hati.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 6:00 AM