NUR Asyikin (baring) pernah dibantu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah bersama ibu mereka ketika dirawat pada 2003.
Mahaizura Abd Malik


KUALA LUMPUR: “Kemangkatan baginda sangat memberi kesan kepada kami yang pernah terhutang budi suatu masa dulu.

“Tiada apa mampu kami balas, hanya doa mengiringi perjalanan baginda ke dunia abadi dipermudahkan dan semoga rohnya dicucuri rahmat Allah,” kata Rabi’atul A’dawiah Ghani.

Keluarga wanita itu yang mengalami kemalangan pada 2003 dibantu Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Rabi’atul A’dawiah, 34, berkata, keprihatinan dan budi ditaburkan Almarhum yang mengambil berat keperluan keluarganya ketika adik bongsunya, Nur Asyikin Ghani menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, dan hospital swasta tidak dilupakan seumur hidup.

“Walaupun mimik muka baginda nampak garang, tetapi baginda dekat di hati kami kerana sering turun menjenguk dan mengambil peduli hal rakyat.


AL-Sultan Abdullah menjadi wakil kepada ayahandanya yang menunaikan umrah memberi sumbangan kepada ayah Rabi’atul A’dawiyah sehari selepas kemalangan.

“Pada saya kemangkatan baginda dimuliakan Allah apabila dijemput pada bulan puasa asbab kebaikan baginda ketika hayatnya..

“Kami sendiri terhutang budi dengan baginda kerana tiada satu sen pun kami keluarkan untuk perbelanjaan merawat adik di hospital ketika itu,” katanya.

Mengimbau peristiwa berkenaan, katanya, kakak dan dua adiknya ditimpa kemalangan hingga dua daripada mereka meninggal dunia pada 3 November 2003.

“Kakak dan adik kelima saya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adik bongsu yang berusia lima tahun parah di kepala.

“Oleh kerana unit rawatan rapi (ICU) penuh, hospital meletakkan adik di wad biasa.

“Baginda yang kebetulan melawat keluarga lain di wad sama mengarahkan adik saya menjalani rawatan di hospital swasta,” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian selepas berbuka puasa, baginda sekali lagi menjenguk adiknya di hospital terbabit.

“Keesokannya baginda yang berangkat menunaikan umrah ke Makkah sempat mewakilkan Tengku Mahkota Pahang ketika itu (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) menziarahi kami sekeluarga.

“Baginda mengarahkan pihak istana melaporkan perkembangan adik yang menerima rawatan selama dua bulan.

“Selepas balik umrah, baginda sekali lagi mewakilkan Sultan Abdullah menyerahkan air zam zam dan kurma,” katanya.

Katanya, adik bongsunya kini berusia 21 tahun dan melanjutkan pengajian di Pondok Tahfiz Al-Quran Darul Hikmah, Kampung Senggora, Maran.

  • Lagi berita berkaitan Kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 6:30 AM