Maryam Balqis (kiri) bersama rakannya meraikan hari graduasi. FOTO Ihsan e-Warta Mara
BERNAMA

KECEMERLANGAN penuntut Malaysia, Maryam Balqis Abdul Rashid, 23, yang memperoleh keputusan CGPA 4.0 di Arizona State Universiti (ASU), Arizona, Amerika Syarikat dalam bidang ‘Sustainability’ (Kelestarian), membanggakan negara.

Maryam Balqis yang juga penerima biasiswa Majlis Amanah Rakyat (MARA), berjaya mengekalkan keputusan cemerlang sepanjang pengajian beliau, menurut e-Warta Mara.

Mengikut sumber maklumat daripada Pejabat MARA Washington, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya itu kemudiannya melanjutkan pengajian asasi dalam program Asas Ijazah Amerika di Kolej INTEC, Shah Alam.

“Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di peringkat ijazah dalam bidang Kelestarian di ASU yang juga kursus pertama ditawarkan di universiti berkenaan,” kata portal itu lagi.

Maryam juga aktif dalam kegiatan kokurikulum, malah telah memenangi beberapa anugerah atas pencapaian beliau di ASU.

Antara anugerah yang diperolehi oleh Maryam Balqis termasuklah ‘Community Assistant of the Year’, ‘Outstanding Graduate Award Spring 2019’ oleh Fakulti Kelestarian dan Persatuan Alumni ASU, ‘Anugerah Kecemerlangan Akademik sempena Perdana Scholar Awards 2018’, dan ‘Frasier Global Mentorship program’.

Selain itu, Maryam banyak menjalankan kajian melestarikan alam seperti kajian kelestarian global dalam aspek pelancongan dan perikanan di Lombok, Indonesia.

“Kajian beliau yang lain ialah mengkaji kaedah pihak Los Angeles dalam menangani isu perubahan iklim serta membuat garis panduan atau ‘toolkit’ untuk kerajaan Mexico menangani isu transformasi, adaptasi, kemantapan dan kelestarian,” katanya.

Pihak MARA Washington turut memberitahu Maryam Balqis akan melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah sarjana dalam kursus ‘Penyelesaian Kelestarian’ pada bulan Ogos 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 10:34 AM