ORANG ramai menguruskan proses pengebumian jenazah Hafiz Mohd dan Siti Nur Shahila yang maut dalam kemalangan awal pagi har ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Nenas. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


IBU kepada Siti Nur Shahila Asla, Saripah Mohd, 53, rebah ketika bacaan talkin anak dan menantunya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Nenas di Kuala Nerus, sebentar tadi.

Saripah yang dalam keadaan lemah dipegang ahli keluarganya ketika menyiram pusara pasangan berkenaan.

Selain itu, ibu kepada Hafiiz Mohd Ibrahim, 29, Esah Abas ,65, turut dibantu ahli keluarga menyiram pusara anak dan menantunya.

Suasana pilu mengiringi pemergian pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 31, Jalan Kuala Terengganu-Setiu berhampiran Kampung Pakoh Jaya, Kuala Nerus pagi ini.

Lebih 200 hadir memberi penghormatan terakhir buat pasangan suami isteri termasuk ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung.

Jenazah, Hafiiz Mohd dan Nur Shahila Asla selamat dikebumikan dalam satu liang, pada 9.15 malam.


Saripah menyiram air mawar di pusara anaknya Siti Nur Shahila dan menantunya Hafiiz Mohd. FOTO Ghazali Kori

Sebelum itu, jenazah pasangan itu disembahyangkan di Masjid Padang Nenas selepas solat Maghrib.

Terdahulu, tanah kubur dikorek menggunakan jentolak.

Sementara itu, abang kepada Hafiiz Mohd, Aliman Mohd, 42, berkata, pemergian arwah turut memberi kesan kepada bengkel yang diusahakan bersama seorang lagi adik, Sukri Mohd, 30.

“Selama 14 tahun kami tiga beradik membangunkan bengkel yang menjadi sumber pendapatan kami tetapi kini kami perlu melakukannya tanpa arwah.

“Memang terkesan kerana hubungan kami rapat tetapi saya reda dengan ketentuan Ilahi dan meneruskan perniagaan ini yang menjadi kenangan kami.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan arwah adik dan isterinya,” katanya.

Dalam kemalangan 9.20 pagi itu, empat maut termasuk seorang wanita yang sedang hamil lima bulan.

Selain Siti Nur Shahila yang hamil anak sulung dan Hafiiz Mohd, turut terkorban adalah pemandu kereta Peugeot Anuar Said, 59, dan isterinya, Kasliza@Che Kasliza Che Husin, 53.

Sementara itu, anak kepada Anuar dan Kasliza@Che Kasliza, Nurul Nadirah, 14, yang cedera di muka dan kaki dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Berita berkaitan

4 maut, 1 cedera

[UPDATE] Wanita hamil 5 bulan antara yang maut

Beli baju raya untuk keluarga sebelum ajal

'Maafkan saya pak cik'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2019 @ 10:13 PM